Victor P. Paut
KOTA KINABALU: Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Tambunan, Datuk Victor P. Paut mengecam kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Dato’ Noorazli Said yang menggunakan kisah seorang paderi dan biarawati serta mengaitkannya dengan Mazmur 129 dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Beliau berkata, agama dan kitab suci tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan, lebih-lebih lagi apabila mengandungi unsur seksual dan disampaikan dari pentas sebuah perhimpunan politik.
“Perkara ini bukan soal politik UMNO, Gagasan Rakyat atau mana-mana parti. Ini soal rasa hormat terhadap agama dan kepercayaan orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Victor berkata, rujukan kepada Mazmur 129 dalam jenaka berkenaan juga tidak menggambarkan kandungan sebenar Mazmur itu, selain perkara tersebut turut ditegur beberapa pemimpin Sabah dan pihak berkaitan agama.
Beliau berkata, walaupun Noorazli kemudian menjelaskan cerita itu hanya analogi bagi menyampaikan mesej mengenai fokus, ketekunan dan kebijaksanaan, niat tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengenepikan kesan sesuatu kenyataan terhadap penganut agama lain.
Katanya, prinsip 3R iaitu Race, Religion and Royalty perlu dilaksanakan secara adil dan konsisten kepada semua pihak, khususnya apabila menyentuh soal agama.
“Kalau kenyataan yang menyentuh Islam boleh dianggap serius dan disiasat, perkara yang sama juga mesti dilakukan apabila agama Kristian atau mana-mana agama lain disentuh dengan cara yang boleh menyinggung perasaan penganutnya.
“Tidak boleh ada dua standard dalam soal agama,” katanya.
Victor berkata, Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan agama-agama lain perlu dihormati sebagai asas kehidupan dalam negara berbilang agama seperti Malaysia, khususnya Sabah.
Beliau berkata, beberapa peruntukan undang-undang turut berkaitan sensitiviti agama dan keharmonian masyarakat, antaranya Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan berkaitan agama dalam Akta Hasutan 1948.
Katanya, Seksyen 233 juga boleh menjadi antara peruntukan yang dinilai pihak berkuasa jika sesuatu kenyataan disebarkan melalui media sosial, manakala Mahkamah Persekutuan pada Februari 2026 memutuskan perkataan “offensive” dan “annoy” dalam Seksyen 233(1)(a) adalah sah dan berperlembagaan.
Bagaimanapun, Victor menegaskan beliau tidak mengatakan Noorazli telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang berkenaan kerana perkara itu adalah bidang kuasa pihak berkuasa untuk menyiasat dan mahkamah menentukan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan mengenai kes ahli politik Sabah, David Orok yang pada 2014 didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 berhubung hantaran Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.
Beliau berkata, David Orok kemudian dijatuhi hukuman penjara 16 bulan, namun menegaskan rujukan kepada kes itu bukan untuk membelanya, sebaliknya menunjukkan kepentingan kesamarataan dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Kalau agama Islam mesti dihormati dan kenyataan yang dianggap menghina Islam boleh membawa kepada tindakan undang-undang, apakah agama Kristian pula boleh diperlakukan sesuka hati?
“Adakah standard kita berbeza apabila agama yang disentuh itu adalah agama minoriti?” katanya.
Victor berkata, beliau tidak meminta layanan istimewa untuk masyarakat Kristian, sebaliknya hanya menuntut keadilan dan kesamarataan kerana jika 3R mahu dijadikan prinsip, ia mesti terpakai kepada semua.
Beliau turut menegaskan kebebasan bersuara bukan lesen untuk mempermainkan kitab suci atau kepercayaan agama orang lain, sambil mengingatkan pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat dari pentas awam.
Sehubungan itu, Victor menyeru pihak berkuasa menilai perkara berkenaan secara adil dan profesional tanpa melihat kedudukan politik sesiapa, serta mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat unsur kesalahan di bawah undang-undang berkuat kuasa.
Beliau juga menyeru Noorazli supaya memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian, khususnya umat Katolik yang berasa tersinggung, sambil mengingatkan bahawa keharmonian masyarakat berbilang agama di Sabah tidak seharusnya dipertaruhkan kerana satu jenaka politik.
“Politik jangan sampai kita gadaikan keharmonian rakyat. Yang paling penting, laksanakan undang-undang secara adil tanpa mengira siapa yang terlibat dan daripada parti mana mereka datang,” katanya.
































