SINGAPURA (Bernama): Jerebu rentas sempadan dikesan meliputi Singapura dan telah mencapai bahagian selatan Vietnam pada pagi Isnin, menurut Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).
Dalam laporan harian mengenai keadaan cuaca dan jerebu, ASMC menyatakan bahawa titik panas dan jerebu di rantau ini dijangka kekal pada paras tinggi, dengan risiko berterusan berlakunya jerebu rentas sempadan.
“Angin di bahagian selatan rantau ASEAN diramalkan bertiup terutamanya dari arah tenggara kecuali di beberapa bahagian Borneo, dan angin diramalkan bertiup perlahan dan berubah-ubah arah,” menurut ASMC pada Isnin.
ASMC terus mengesan jerebu sederhana hingga tebal di kawasan tengah dan selatan Sumatera, Kalimantan Barat dan Tengah, serta beberapa bahagian di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Kelompok titik panas yang berselerak dikesan di kawasan selatan Sumatera, selain di Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan. Beberapa titik panas juga dikesan di Semenanjung Malaysia dan Jawa,” menurut laporan itu.
Menurut ASMC, stesen pemantauan kualiti udara di kawasan yang terjejas akibat jerebu rentas sempadan turut melaporkan tahap sederhana hingga tidak sihat.
Sementara itu, data daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di rantau tengah memasuki tahap tidak sihat pada bacaan 102 setakat 12 tengah hari.
Kualiti udara di kawasan lain kekal pada tahap sederhana, dengan bahagian Timur dan Barat masing-masing mencatatkan PSI 91, manakala Utara (79) dan Selatan (82). — BERNAMA
































