Jamawi (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan semua yang hadir.
TENOM: Taman Pertanian Sabah di Lagud Seberang di sini menghimpunkan kira-kira 1,000 jenis tumbuhan, buah-buahan, orkid liar dan tanaman orkid, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengenali khazanah flora asli Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pelbagai koleksi buah-buahan asli Sabah yang dikumpulkan di taman pertanian itu kadangkala tidak lagi dikenali generasi muda, termasuk cucu-cicit.
Beliau berkata, terdapat juga individu yang tidak mengetahui sama ada sesetengah buah-buahan tempatan berkenaan boleh dimakan apabila ditanya mengenainya.
“Namun hari ini, kita memberi peluang kepada semua pengunjung untuk mengenalinya dengan lebih pasti. Bunga orkid tempatan serta buah-buahan asli Sabah turut dipamerkan dan dikumpulkan di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bunga dan Buah-buahan Indigenous 2026 di Taman Pertanian Sabah, hari ini.
Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, pengunjung bukan sahaja dapat mengenali pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan asli Sabah, malah berpeluang memperoleh pengalaman baharu menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang pesta berkenaan.

Jamawi (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Pesta Bunga dan Buah-buahan Indigenous 2026.
Katanya, antara kemudahan dan aktiviti yang terdapat di kawasan itu termasuk kawasan memancing, kolam memancing serta pelbagai pertandingan seperti berbasikal, pakaian dan roket sepanjang tempoh 10 hari penganjuran pesta.
“Pada petang ini juga, kita akan menyertai acara larian santai (Fun Run) bagi menghayati persekitaran hijau di kawasan ini.
“Ia bukan sekadar menawarkan pengalaman baharu. Jika biasanya larian diadakan di jalan raya, larian di sini pula berlangsung di dalam kawasan taman pertanian yang indah, segar dan subur,” katanya.
Jamawi berkata, penganjuran pesta orkid dan buah-buahan tempatan di taman pertanian itu merupakan antara keistimewaan yang diketengahkan tahun ini, selain usaha berterusan untuk mempromosikan kawasan berkenaan kepada lebih ramai pengunjung.
“Kami berharap usaha promosi akan terus dipergiatkan. Di peringkat wilayah, kami telah melantik ‘Discover Tenom’ sebagai agensi atau wakil untuk mempromosikan aktiviti pertanian, pelancongan serta pelbagai aktiviti lain di kawasan Tenom,” katanya.
Beliau berkata, pihak Taman Pertanian Sabah dan Jabatan Pertanian Sabah juga telah diminta melipatgandakan usaha mempromosikan kawasan berkenaan memandangkan masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan serta keistimewaannya.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kemudahan dan koleksi tumbuhan yang terdapat di taman pertanian itu dapat dimanfaatkan oleh generasi muda serta para pengunjung.
“Kita boleh memaklumkan kepada rakan-rakan di Semenanjung, Sarawak dan Brunei bahawa terdapat sebuah tempat yang indah serta kaya dengan ilmu dan pelbagai tumbuhan asli yang hanya terdapat di Sabah, namun telah dikumpulkan di taman pertanian ini,” katanya.
Menurut Jamawi, kewujudan koleksi tersebut juga memudahkan orang ramai untuk melihat pelbagai jenis orkid dan tumbuhan asli tanpa perlu memasuki kawasan hutan.
“Ini bermakna kita tidak perlu masuk ke dalam hutan. Jika ada rakan yang ingin mencari orkid, umpamanya lima atau enam jenis, mereka biasanya perlu masuk ke hutan yang merangkumi tiga atau empat jenis ekosistem hutan yang berbeza.
“Namun, kita boleh mendapatkannya terus di sini. Inilah kelebihan Taman Pertanian Sabah di Lagut Seberang, Tenom,” katanya.
Jamawi turut mengalu-alukan kehadiran seramai 550 pelajar daripada 12 buah sekolah di sekitar daerah Tenom yang hadir dan seterusnya mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang pesta ini berlangsung.
Hadir sama, Pembantu Menteri I dan II, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Timbalan Setiausaha Tetap I,II dan III MAFFI, Awg. Dzulkernain Awg. Hassan, Maria David Edick dan dan Shariffah Aznoor Jap; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson Ronald Jaimi; Ketua Daerah, Tusip Tulas; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Pengurus Taman Pertanian Sabah Selaku tuan rumah, Dynon Affendy Koroh dan Timbalan Pengarah Pertanian Bahagian Latihan dan Operasi merangkap, Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Pesta Bunga, Linda Lily Cosmas.
Terdahulu, Jamawi merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dan Hari Keluarga KRT Perumahan Kalang Tenom di Dewan Terbuka Perumahan Kalang dan turut mengadakan ziarah kematian ahli keluarga.
































