Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR (Bernama): Amalan birokrasi lama yang mengekang kepantasan proses pengkomersialan serta melambatkan penubuhan fakulti berteraskan teknologi baharu perlu dihentikan supaya negara tidak ketinggalan dalam arus inovasi global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dunia inovasi dan pengkomersialan menuntut kelajuan serta fleksibiliti, justeru proses berkaitan tidak lagi boleh terikat dengan kaedah kelulusan tradisional yang mengambil masa terlalu lama.
Sebagai contoh Perdana Menteri berkata penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di beberapa universiti tempatan telah berjaya direalisasikan dalam tempoh tiga bulan berbanding prosedur biasa yang mengambil masa sehingga setahun.
“Mana boleh kita ikut birokrasi lama, tak mungkin…kalau ikut pendekatan lama, penubuhan satu fakulti mengambil masa setahun melalui pelbagai mesyuarat senat dan majlis.
Sebab itu saya menggesa rakan-rakan di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan kementerian berkaitan untuk menerima kenyataan bahawa kita kena (capai) tahap kecepatan dan kepantasan dalam dunia pasca-normal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Expo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi aktiviti penyelidikan menerusi Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan awal Oktober ini bagi menyokong ekosistem inovasi negara.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan penerima dana dan agensi kerajaan supaya sentiasa berhemah dalam perbelanjaan memandangkan sumber kewangan negara yang terhad serta berasaskan hasil cukai.
“Dana untuk penyelidikan tentu ditambah, tetapi peruntukan tambahan itu ada hadnya kerana kita tidak boleh hutang tinggi. Jadi kita kena lebih berhati-hati dalam perbelanjaan,” katanya.
Bagi mengimbangi kekangan fiskal itu, Anwar menggesa pengukuhan sinergi strategik antara agensi penyelidikan kerajaan, universiti, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta bagi memastikan setiap dana dimanfaatkan secara optimum.
Selain itu, beliau turut menekankan supaya hasil penyelidikan negara berpegang kepada prinsip ‘Made in Malaysia’ untuk pasaran global dengan mengimbangi kemajuan teknologi moden dan nilai kemanusiaan. — BERNAMA
































