Jamawi meninjau tanaman padi kering yang diusahakan di halaman rumahnya yang dianggarkan mampu menghasilkan 50 kilogram padi.
Gambar: Bahagian Media Siber (BMS)/ Celestina Ubing (MAFFI)
KOTA KINABALU : Kira-kira 10,000 hektar kawasan yang sesuai untuk tanaman padi tetapi masih terbiar di Sabah akan dibangunkan menerusi pendekatan mini estet.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata Sabah mempunyai kira-kira 25,000 hektar kawasan yang sesuai untuk tanaman padi namun hanya sekitar 15,000 hektar diusahakan ketika ini.
“Baki 10,000 hektar tidak diusahakan antaranya disebabkan faktor usia pemilik tanah dan kurang minat untuk mengusahakan sawah.
“Kerajaan negeri kini bekerjasama dengan syarikat swasta untuk membangunkan mini estet padi berskala sekurang-kurangnya 300 hingga 500 ekar,” katanya ketika ditemui media di Kepayan, pada Rabu.
Menurutnya, enam mini estet sudah diwujudkan setakat ini dengan pendekatan berkenaan membolehkan pengurusan tanaman padi dilaksanakan secara lebih tersusun seperti pengurusan estet komoditi lain.
Jamawi berkata Sabah juga menyasarkan hasil padi ditingkatkan kepada enam hingga tujuh tan sehektar menerusi penggunaan mekanisasi, baja bersesuaian dan teknologi pertanian.
“Sasaran itu berdasarkan pencapaian di Tenom yang mampu menghasilkan antara lapan hingga sembilan tan sehektar.
“Hasil ketika ini berbeza mengikut kawasan dengan Trusan Sapi mencatat kira-kira empat tan sehektar manakala Jelapang Padi Kota Belud sekitar lima tan,” ujarnya.
Tambahnya, selain pertambahan keluasan sawah, peningkatan hasil padi juga dipengaruhi penggunaan teknologi dan input pertanian yang sesuai.
“Usaha itu penting bagi meningkatkan kadar sara diri (SSL) beras Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus serta mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku konflik geopolitik atau peperangan yang boleh menjejaskan kemasukan bekalan beras ke Sabah,” ujarnya.
Ketika ini hanya 19 peratus keperluan beras Sabah dipenuhi pengeluaran tempatan manakala selebihnya bergantung kepada import dari Thailand, Vietnam dan India.

































