KOTA KINABALU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menyambut baik cadangan supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peningkatan kuota subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI kepada 500 liter sebulan, khususnya bagi penerima yang layak di Sabah.
Ketuanya, Zaidi Jatil berkata, cadangan yang dibangkitkan wakil pembahas Sabah dalam Kongres Nasional KEADILAN, Junaidah Makku, itu munasabah dan sewajarnya diberikan penelitian oleh Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI.
“Saya mengikuti penuh perbahasan beliau yang membawa suara serta realiti kehidupan rakyat Sabah.
“Pada pandangan kami, cadangan ini munasabah dan sewajarnya diberikan penelitian oleh Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidi berkata, Sabah mempunyai keluasan geografi, bentuk muka bumi dan jaringan perhubungan yang berbeza berbanding kebanyakan kawasan lain di negara ini.
Katanya, masih terdapat masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan, menghantar hasil pertanian, menjalankan perniagaan atau mendapatkan perkhidmatan asas.
“Dalam keadaan sedemikian, penggunaan diesel bukan semata-mata soal pilihan, tetapi bagi sebahagian rakyat ia merupakan keperluan untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.
“Sebab itu, sesuatu kadar yang dilihat mencukupi berdasarkan pengiraan di atas kertas, belum tentu mencukupi apabila berhadapan dengan realiti perjalanan di bumi Sabah,” katanya.
Zaidi berkata, AMK Sabah memahami dan menyokong matlamat Kerajaan MADANI untuk memastikan subsidi negara lebih bersasar, mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan dinikmati golongan yang benar-benar layak.
Bagaimanapun, katanya, subsidi bersasar juga seharusnya mengambil kira perbezaan keperluan antara wilayah supaya dasar yang baik tidak akhirnya memberikan kesan berbeza kepada rakyat hanya kerana keadaan geografi mereka tidak sama.
“Justeru, kami berharap cadangan kuota 500 liter sebulan ini dapat dinilai secara objektif berdasarkan data, jarak perjalanan, aktiviti ekonomi serta keperluan sebenar rakyat Sabah.
“Kita tidak mahu rakyat di kawasan luar bandar terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi hanya kerana perjalanan mereka lebih jauh daripada orang lain,” katanya.
Beliau berkata, Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahu keperluannya dinilai berdasarkan realiti negeri itu.
“AMK Sabah percaya Kerajaan MADANI sentiasa terbuka mendengar pandangan dan melakukan penambahbaikan apabila sesuatu dasar memerlukan penyelarasan.
“Keupayaan kerajaan mendengar suara dari bawah bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan sebuah pentadbiran yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
Zaidi berharap suara yang dibawa melalui Kongres Nasional KEADILAN itu diberikan pertimbangan sewajarnya bagi memastikan manfaat subsidi diesel benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.






























