ketika program KMJG 2026 peringkat Daerah Nabawan.
NABAWAN : Penyampaian maklumat dan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat luar bandar terus diperkukuh menerusi kerjasama pelbagai agensi dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026.
Pegawai Daerah Nabawan, Ts. Marshal Anthony@Idham berkata, kerjasama pelbagai agensi menerusi KMJG memudahkan masyarakat setempat mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara terus tanpa perlu berurusan jauh dari kawasan kediaman mereka.
“Program ini memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar, terutamanya apabila kita membuka kaunter-kaunter perkhidmatan dan bantuan seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi memudahkan masyarakat berurusan secara terus.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan di daerah-daerah lain bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena persinggahan KMJG 2026 di Kg Salarom Baru, pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pendekatan bergerak bersama agensi kerajaan membolehkan maklumat serta pelbagai perkhidmatan disampaikan secara terus kepada masyarakat.
Menurutnya, antara agensi yang menyediakan perkhidmatan di Kg Salarom Baru termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Ini selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ apabila perkhidmatan kerajaan seperti SYUKUR, BUDI MADANI dan perkhidmatan lain yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat,” jelasnya.
Dalam program itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menyampaikan sumbangan berupa Kotak Kembara Cilik kepada 77 pelajar sekolah di kampung berkenaan.
































