PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memperluas kerjasama antarabangsa dalam pengukuhan dasar dan kerangka perundangan persaingan serta aspek penguatkuasaan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC), hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperluas jaringan strategik dengan pihak berkuasa persaingan antarabangsa dalam usaha memelihara serta menggalakkan persaingan yang sihat dan adil.
Beliau berkata, MoU berkenaan merupakan kerjasama keempat yang dimeterai MyCC dengan badan persaingan luar negara selepas Turkiye Competition Authority (TCA), Korea Fair Trade Commission (KFTC) dan Philippine Competition Commission (PCC).
“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan saling berhubung, isu persaingan turut melibatkan aktiviti perniagaan dan entiti yang merentasi sempadan.
“Kerjasama antara pihak berkuasa persaingan pelbagai negara amat penting bagi membolehkan perkembangan pasaran serta cabaran penguatkuasaan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi MoU itu, MyCC dan HKCC akan bekerjasama dalam pertukaran maklumat mengenai perkembangan penting berkaitan undang-undang persaingan, termasuk pindaan perundangan, perkongsian pengalaman berkaitan siasatan serta jalinan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain.
Kerjasama teknikal turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan melalui program latihan, bengkel, penempatan sementara pegawai dan kolaborasi penyelidikan.
Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama membincangkan serta menangani isu persaingan rentas sempadan dan penguatkuasaan undang-undang persaingan secara dua hala atau bersama pihak berkuasa persaingan antarabangsa.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif HKCC, Rasul Butt.
Majlis pemeteraian itu turut disaksikan Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun; Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Republik Rakyat China, Algernon Yau serta wakil-wakil daripada Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur.
Armizan berkata, KPDN melalui MyCC akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Usaha ini akan digerakkan secara berterusan bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, memperkukuh kapasiti institusi dan memastikan ekosistem persaingan negara kekal dinamik dan berdaya saing demi kepentingan pengguna dan ekonomi negara,” katanya.






























