Suasana sesi pengagihan bendera di Tamu Mingguan Dataran Bagandang.
BEAUFORT : Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Beaufort menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Hari Sabah, melibatkan komuniti menerusi pengisian yang merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, keselamatan dan perpaduan.
Program dimulakan pada sebelah pagi dengan aktiviti senam kesihatan yang disertai komuniti setempat sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat, selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Program kemudiannya diteruskan menerusi Program Langkah Jiwa Merdeka yang disertai peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) bersempena Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) dengan peserta berjalan kaki sambil menyantuni masyarakat serta mengedarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada pengunjung di Tamu Mingguan Dataran Bagandang.
Program berkenaan disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dan menyuburkan rasa cinta terhadap negara sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Dalam pada itu, Jualan Rahmah turut mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk setempat hadir seawal pagi bagi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah.
Pelbagai perkhidmatan kemasyarakatan turut disediakan, antaranya perkhidmatan gunting rambut oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah oleh Hospital Beaufort, selain kaunter perkhidmatan Telekom Malaysia.
Program turut diisi dengan demonstrasi pencegahan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Cawangan Beaufort, selain taklimat “Kepelbagaian Menyatukan” oleh Pegawai Perpaduan Beaufort, Encik Jamaluddin Abd. Rahman, yang menekankan kepentingan perpaduan, toleransi dan keharmonian masyarakat.
Secara keseluruhannya, program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi wadah memperkukuh penglibatan komuniti dalam aspek kesihatan, kebajikan, keselamatan dan perpaduan.
Program tersebut turut mencerminkan komitmen PAWE Beaufort dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Beaufort dan agensi lain dalam menyediakan ruang kepada golongan warga emas untuk terus aktif, menyumbang kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara komuniti.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Beaufort, Azlan Rizwan Zaman serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Rosli Suhaili.
































