Hajiji bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Pendidikan, Datuk James Ratib, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pro-Canselor UCSF, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar, Naib Canselor, Profesor Madya Datuk Dr. Rafiq Idris, Lembaga Pengarah UCSF, pensyarah dan graduan.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, sudah tiba masanya Universiti Kolej Sabah Foundation (UCSF) membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa.
“Langkah ini dapat meningkatkan reputasi institusi di peringkat global, menggalakkan perkongsian ilmu yang lebih pelbagai serta membawa manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Tahniah juga kepada UCSF atas usaha memperkukuh jaringan antarabangsa. Hubungan strategik dengan institusi di Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina menunjukkan bahawa UCSF tidak lagi melihat sempadan geografi sebagai penghalang kepada kecemerlangan.
“Sebaliknya, universiti ini membuka peluang yang lebih luas bagi mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama dan pembangunan komuniti rentas sempadan,” katanya.
Ketua Menteri yang juga Canselor UCSF berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Keempat UCSF di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan anugerah tertinggi UCSF, Anugerah Tun Mustapha, kepada pelajar paling cemerlang, Liew Su San. Turut mengiringi Ketua Menteri ialah Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pro-Canselor UCSF, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar (kanan) dan Naib Canselor, Profesor Madya Datuk Dr. Rafiq Idris (kedua kiri).
Hajiji berkata, usaha memperkukuh jaringan antarabangsa akan terus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan, khususnya di rantau Borneo dan BIMP-EAGA.
Dalam hal ini, katanya, UCSF memainkan peranan yang amat penting.
Sebagai institusi pengajian tinggi milik Yayasan Sabah, UCSF bukan sahaja menjadi pusat penyebaran ilmu pengetahuan, malah platform untuk melahirkan generasi baharu anak Sabah yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, usaha UCSF memperluas penawaran akademiknya menerusi pengenalan program baharu seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Asasi Sains serta pembangunan program Ijazah Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian) juga amat membanggakan.
“Usaha membangunkan program Sarjana dan Doktor Falsafah menunjukkan bahawa UCSF sedang memasuki fasa baharu sebagai institusi yang memberi penekanan lebih besar terhadap penyelidikan, inovasi dan kemajuan ilmu pengetahuan pada tahap lebih tinggi.
“Inilah bentuk transformasi yang kita harapkan daripada sebuah institusi pengajian tinggi. Saya juga dimaklumkan bahawa UCSF merupakan antara institusi utama yang membekalkan tenaga kerja berkemahiran kepada industri pelancongan dan hospitaliti di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan pendidikan tinggi di Sabah.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Naib Canselor, Lembaga Pengarah, pengurusan universiti, ahli akademik, seluruh warga universiti dan, sudah tentunya, Yayasan Sabah, UCSF akan terus mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Hajiji mengulangi bahawa agenda pembangunan modal insan Sabah terus diperkukuh dengan peruntukan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.
Katanya, inisiatif itu memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Peruntukan ini digunakan untuk menyokong pelajar sedia ada serta penajaan baharu bagi 2026, melibatkan 2,182 pelajar yang mengikuti program diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.
“Sehingga kini, jumlah pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencapai 13,389 orang, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan pendidikan kekal sebagai keutamaan kerana sektor ini merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras kemajuan negeri dan selaras dengan perkembangan semasa, Sabah amat memerlukan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mempunyai pemikiran kreatif.
Beliau berkata, Kerajaan bertekad untuk meneruskan pelbagai program bantuan pendidikan, termasuk 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021.
Antara program bantuan pendidikan berkenaan ialah Bantuan Tunai Sekali Bayar Pendaftaran ke Institusi Pengajian Tinggi (BUDI); Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI); Program Bantuan Komputer (BAIK); Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS/SUBFLY); dan Sumbangan Pendidikan Tinggi bagi Pelajar yang Belajar di Sabah (SENTOSA).
“Langkah-langkah yang kita ambil ini bertujuan membantu pelajar dan keluarga mereka, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan,” katanya.
Ketua Menteri berharap semua pelajar akan terus berusaha mencapai kecemerlangan, termasuk meneroka dan mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang strategik yang akan memacu pembangunan masa depan, khususnya sektor minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta Kecerdasan Buatan (AI).


































