Tun Musa dan Hajiji bergambar bersama para penerima sumbangan khas Hari Pahlawan.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menghadiri Majlis Kesyukuran Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Masjid Negeri Sabah, malam tadi.
Tun Musa diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Kedua-dua pemimpin turut menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum menghadiri bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar.
Sempena program itu, sumbangan khas Hari Pahlawan turut disampaikan kepada wakil Persatuan Veteran sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Malaysia disambut pada 31 Julai dengan membawa tema rasmi “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan”.
Sambutan tahunan itu menjadi platform penting untuk mengenang jasa, keberanian dan pengorbanan para pahlawan yang telah mempertahankan kedaulatan negara, sama ada pada zaman dahulu mahupun masa kini.


































