Masidi yang mewakili Ketua Menteri (belakang, tengah) bersama anggota Jemaah Menteri Negeri pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan Sabah menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dalam usaha berterusan membangunkan negeri ini menjadi lebih maju, berdaya saing dan makmur.
Beliau berkata, pelan hala tuju itu selaras dengan aspirasi tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.”
“Pelan hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, pengukuhan daya saing, penerapan inovasi dan teknologi, serta pembangunan inklusif supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di Menara Kinabalu, di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang memberi impak secara langsung kepada kualiti hidup rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan, penjagaan kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia, serta penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
“Saya yakin dengan semangat kebersamaan, integriti dalam tadbir urus, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, serta sokongan padu rakyat, kita mampu membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan makmur.
“Akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah apa yang telah dibina, tetapi sejauh mana rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut,” katanya.
Hajiji berkata, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai acara simbolik, sebaliknya perlu disambut dengan semangat patriotisme yang tinggi.
“Marilah kita sama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud kebebasan daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan. Ia merupakan anugerah yang amat berharga dan perlu kita hargai serta pertahankan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, dalam era digital, rakyat mempunyai lebih banyak peluang untuk menyuarakan pandangan dan mengikuti perkembangan pembangunan negeri.
“Kerajaan Negeri menghargai setiap pandangan dan kritikan yang membina sebagai cerminan keprihatinan rakyat terhadap masa depan Sabah.
“Bagaimanapun, setiap pandangan hendaklah disampaikan secara bertanggungjawab, berasaskan fakta yang sahih dan dengan niat untuk membina, bukannya memecahbelahkan masyarakat.
“Marilah kita memanfaatkan teknologi secara bijaksana untuk menyebarkan maklumat yang tepat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan,” katanya.
Beliau menggesa semua pihak mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negeri dengan penuh rasa bangga dan semangat patriotisme.
“Semoga seluruh rakyat Sabah terus bersatu, berganding bahu dan saling menyokong demi masa depan Sabah yang lebih cerah.
“Semoga sambutan tahun ini menjadi iltizam baharu untuk membina Sabah yang lebih maju dan makmur,” katanya.


































