Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Negeri mempercepatkan transformasi sistem bekalan air Sabah susulan gangguan bekalan air yang sekali lagi menjejaskan puluhan ribu penduduk di Tuaran, Tamparuli dan beberapa kawasan di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, notis kecemasan yang dikeluarkan Jabatan Air Sabah mengenai penutupan sementara operasi Loji Rawatan Air Telibong I, Loji Pekan Tuaran dan Loji Rawatan Air Kampung Bawang akibat kadar kekeruhan (NTU) air sungai yang meningkat ke paras tidak selamat membuktikan keperluan penyelesaian menyeluruh terhadap isu berulang itu.
“Akibatnya, puluhan ribu penduduk di Parlimen Tuaran, termasuk kawasan Tamparuli serta beberapa kawasan di Kota Kinabalu, sekali lagi terpaksa berhadapan dengan gangguan bekalan air. Bekalan kini sedang dipulihkan secara berperingkat.
“Kepada semua penduduk yang terjejas, saya ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam. Saya benar-benar memahami kesukaran yang sedang dialami oleh rakyat, termasuk ibu bapa yang mengurus keluarga, warga emas, peniaga kecil, sekolah, premis kesihatan dan semua yang bergantung kepada bekalan air bersih untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan media.
Madius yang juga ADUN Tamparuli turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Jabatan Air Sabah yang bertugas siang dan malam bagi memulihkan operasi loji serta mengembalikan bekalan air kepada pengguna secepat mungkin.
Bagaimanapun, beliau berkata, rakyat berhak mempersoalkan sampai bila masalah sedemikian akan terus berulang.
Menurutnya, walaupun hujan lebat dan peningkatan kekeruhan sungai merupakan fenomena alam yang sukar dielakkan, sistem bekalan air yang moden dan berdaya tahan sepatutnya mampu mengurangkan kesannya terhadap pengguna.
“Jika setiap kali hujan lebat loji rawatan air terpaksa dihentikan dan rakyat kehilangan bekalan air, maka jelas bahawa sudah tiba masanya kita mempercepatkan transformasi sistem bekalan air Sabah supaya lebih tahan lasak, lebih moden dan lebih bersedia menghadapi perubahan iklim yang semakin ekstrem,” katanya.
Beliau berkata, Sabah memerlukan pelaburan yang lebih agresif bagi menaik taraf loji-loji rawatan air, memperkukuhkan perlindungan kawasan tadahan air, meningkatkan teknologi rawatan air untuk menangani kadar NTU yang tinggi, mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW) serta memastikan kapasiti bekalan air mempunyai reserve margin yang mencukupi pada masa hadapan.
Katanya, air bersih bukan sekadar kemudahan awam tetapi merupakan keperluan asas kehidupan, justeru isu bekalan air perlu diberi keutamaan setanding dengan kepentingannya kepada kehidupan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.
Madius berkata, sebagai Ahli Parlimen Tuaran dan ADUN Tamparuli, beliau akan terus memantau perkembangan pemulihan bekalan air serta membawa isu itu kepada perhatian Kerajaan Negeri supaya langkah penyelesaian jangka pendek dan pelan jangka panjang dapat dipercepatkan.
Beliau turut menggesa semua pengguna yang terjejas supaya menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh pemulihan bekalan.
“Rakyat Sabah bukan meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mengharapkan apabila membuka paip di rumah, air bersih mengalir tanpa gangguan yang berulang. Itulah ukuran sebenar sebuah sistem perkhidmatan awam yang cekap, berdaya tahan dan benar-benar mengutamakan rakyat,” katanya.


































