Muhammad Raiyan Fung Abdullah
KOTA KINABALU: Muhammad Raiyan Fung Abdullah mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Setiausaha Bahagian N.69 Sri Tanjong, selain mengisytiharkan peletakan keahliannya dalam parti itu, berkuat kuasa 26 Julai.
Raiyan berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapannya.
“Saya membuat keputusan ini setelah melalui pertimbangan yang sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sepanjang penglibatannya bersama STAR, beliau amat menghargai segala peluang, kepercayaan dan pengalaman yang diberikan oleh parti.
Raiyan turut merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang beliau memegang kedua-dua jawatan tersebut.
“Saya amat menghargai segala peluang, kepercayaan serta pengalaman yang telah diberikan sepanjang penglibatan saya bersama parti.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan selaku Presiden Parti, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang saya memegang amanah dalam kedua-dua jawatan tersebut,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar STAR terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai segala matlamat yang telah ditetapkan.
































