Keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di Tawau.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negeri supaya memantau secara rapi situasi banjir di Tawau yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana selepas banjir melanda banyak kawasan di daerah itu sejak Jumaat (24 Julai).
“Semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan terjejas. Saya mahu mereka bersiap siaga untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Menteri turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila diperlukan.
Beliau berkata, keadaan ketika ini adalah terkawal dengan agensi-agensi berkaitan sudah berada di lokasi bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana pada jam 8.30 pagi tadi selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan banjir di beberapa kawasan perumahan, termasuk Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.
Jawatankuasa itu juga sedang mengumpulkan data jumlah mangsa yang terjejas bagi tujuan kemungkinan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga jam 11 pagi tadi, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau yang menempatkan 96 ketua isi rumah melibatkan 335 mangsa.


































