Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan isu gangguan bekalan air dan pencemaran sungai akibat aktiviti penternakan ayam dan khinzir yang telah lama menghantui penduduk di kawasan Tamparuli.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat lebih 19 buah ladang ayam yang beroperasi di DUN Tamparuli selain sejumlah besar ladang ternakan khinzir yang dianggarkan melibatkan lebih 50,000 ekor ternakan.
“Rakyat Tamparuli telah sekian lama berhadapan dengan gangguan bekalan air yang dikaitkan dengan pencemaran sumber air mentah, terutamanya melibatkan Sungai Bawang dan Sungai Mangkaladoi yang penting kepada masyarakat setempat.
“Selain itu, Loji Rawatan Air Telibong I telah beberapa kali mengalami gangguan operasi akibat kandungan ammonia yang tinggi di sumber air mentah, sehingga menjejaskan bekalan air kepada pengguna,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Enakmen Haiwan (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Presiden Kehormat UPKO itu turut menegaskan bahawa keterjaminan makanan dan keterjaminan bekalan air mesti bergerak seiring kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.
“Tidak ada gunanya kita berjaya menghasilkan berjuta-juta ekor ayam dan jutaan biji telur jika pada masa yang sama rakyat terpaksa menanggung gangguan bekalan air akibat pencemaran sumber air mentah.
“Saya berharap kementerian yang berkaitan juga dapat mengesahkan bilangan sebenar ladang dan jumlah ternakan yang direkodkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar supaya Dewan mempunyai fakta rasmi sebagai asas kepada dasar dan tindakan penguatkuasaan,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Madius mencadangkan agar sistem pelesenan yang diperkenalkan melalui Rang Undang-Undang tersebut disertai dengan syarat pengurusan efluen, pemantauan berkala dan penguatkuasaan yang benar-benar berkesan.
“Keperluan mewujudkan sistem pelesenan ladang ternakan dan rumah sembelih bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
“Sabah memerlukan satu sistem kawal selia yang lebih moden, lebih teratur dan lebih berkesan bagi memastikan industri ternakan terus berkembang tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan alam sekitar,” katanya.
































