Laken bin Jiram
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mencatat kejayaan pendakwaan kelima dalam tempoh seminggu apabila seorang pendatang tanpa izin (PTI) dipenjara selepas gagal membayar denda RM188,000 atas kesalahan berkaitan penyambungan dan penjualan bekalan elektrik secara haram.
Pendakwaan terbaharu itu merupakan hasil Operasi Bersepadu yang dilaksanakan dari 1 hingga 3 Julai 2026 di beberapa penempatan setinggan sekitar Sandakan dengan kerjasama Sabah Electricity (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Operasi berkenaan menyasarkan beberapa lokasi yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan penyambungan dan penjualan bekalan elektrik secara haram, iaitu Kampung Kagayan, Kampung Pengiran Galpam, Kampung Keluarga dan Kampung Konoha.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Sandakan di hadapan Hakim Roslinda Razali, tertuduh Laken bin Jiram dari Kampung Kagayan didapati bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 8(1)(b), Seksyen 61(1), Seksyen 61(3)(a) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Mahkamah menjatuhkan denda keseluruhan RM188,000, namun tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut dan diperintahkan menjalani hukuman penjara lapan bulan secara serentak bagi setiap kesalahan.
Pesalah turut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut termasuk proses pengusiran.
Dengan pendakwaan terbaharu itu, seramai lima individu berjaya didakwa hasil Operasi Bersepadu berkenaan, iaitu Zaini bin Mubin, Sumailah bin Cuba, Laken bin Jiram, Ahmad Safuan bin Baharuddin dan Asis bin Cengkuru.
Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir. Ts. Ridwan Saham berkata, kejayaan lima pendakwaan dalam tempoh seminggu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram.
Beliau berkata, ECoS akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh Sabah dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Menurutnya, selain melanggar undang-undang, aktiviti mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram turut mengundang risiko keselamatan tinggi seperti renjatan elektrik, kebakaran dan gangguan bekalan kepada pengguna lain.
































