PAPAR: Seramai 33 kakitangan Borneo Cultural Village (BCV) menyertai Kursus Bahasa Mandarin selama 28 hari yang dianjurkan di pusat pelancongan itu menerusi tajaan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI).
Program yang dilaksanakan oleh AMC University College itu bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi kakitangan BCV, khususnya bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan lebih berkesan dengan pelancong dari China yang merupakan antara kumpulan pelawat utama ke destinasi berkenaan.
Kursus berkenaan menyasarkan peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun dan memberi penekanan kepada penguasaan asas bahasa Mandarin, termasuk kemahiran bertutur, mendengar serta penggunaan frasa harian yang relevan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.
Inisiatif itu juga dilihat sebagai usaha memperkasakan modal insan tempatan agar lebih berdaya saing, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelancong antarabangsa.
Menariknya, majoriti peserta yang mengikuti kursus tersebut merupakan anak tempatan dari kampung-kampung sekitar Papar dan kawasan berhampiran BCV.
Penyertaan mereka mencerminkan komitmen untuk meningkatkan kemahiran diri selain membuka lebih banyak peluang dalam industri pelancongan yang terus berkembang di Sabah.
Melalui latihan intensif selama 28 hari itu, peserta diharapkan dapat menguasai kemahiran asas bahasa Mandarin yang praktikal bagi membolehkan mereka memberikan pengalaman yang lebih mesra, profesional dan berkualiti kepada pelancong.
Penganjuran kursus berkenaan turut mencerminkan komitmen KPSTI Sabah dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan menerusi latihan berimpak tinggi, selaras dengan usaha memperkasa sektor pelancongan negeri melalui peningkatan kemahiran bahasa dan komunikasi dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
































