Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di pusat bandar raya ini mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja kecemasan membaiki paip bocor yang dilaksanakan Jabatan Air Sabah (JANS) hari ini.
Menurut notis gangguan bekalan air kecemasan yang dikeluarkan JANS pada jam 11 pagi, kerja pembaikan melibatkan paip jenis Mild Steel Cement Lined (MSCL) berdiameter 300 milimeter yang bocor di kawasan berhampiran Suria Sabah.
Gangguan bekalan air bermula pada jam 11 pagi dan akan berterusan sehingga kerja-kerja pembaikan selesai.
JANS memaklumkan kawasan yang terjejas termasuk Suria Sabah, Wisma Merdeka, Gaya Centre, Hyatt Regency, KK Plaza di Jalan Segama serta kawasan sekitarnya.
Menurut jabatan itu, pengguna di kawasan terlibat dijangka mengalami gangguan bekalan air, manakala pemulihan bekalan akan dilakukan secara berperingkat selepas kerja pembaikan selesai.
Sehubungan itu, pelanggan dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline Jabatan Air Kota Kinabalu di talian 088-892220.
































