Jamawi Jaafar
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar akan membawa hasil sesi libat urus berkaitan pelaksanaan program BUDI Diesel di Sabah ke Mesyuarat Kabinet Negeri bagi mendapatkan sokongan Kerajaan Negeri terhadap cadangan penambahbaikan yang dikemukakan.
Beliau berkata, satu sesi libat urus telah diadakan di pejabatnya semalam melibatkan semua ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah serta ketua-ketua jabatan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Persekutuan yang beroperasi di Sabah.
Perbincangan itu turut disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Johan Mahmood Merican; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah, Shahril Nizam; serta pegawai kementerian berkaitan.
Jamawi berkata, pelbagai isu yang dihadapi rakyat Sabah berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel telah dibangkitkan secara terus kepada Kementerian Kewangan.
“Semalam kami mengadakan dialog secara terbuka bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pegawai Kementerian Kewangan. Kami memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku di lapangan, khususnya di luar bandar, kampung-kampung, dalam kalangan penggiat industri makanan dan juga pengusaha pengangkutan yang terkesan dengan pelaksanaan BUDI Diesel.
“Kami menyampaikan suara rakyat Sabah dan menjelaskan cabaran yang dihadapi masyarakat, termasuk isu melibatkan bas sekolah di kawasan luar bandar yang memainkan peranan penting membawa murid ke sekolah tetapi berdepan kekangan berkaitan kelayakan subsidi diesel,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Menurut beliau, situasi di Sabah berbeza dengan Semenanjung kerana banyak kawasan luar bandar tidak mempunyai perkhidmatan bas sekolah konvensional yang mencukupi, menyebabkan pengusaha pengangkutan tempatan memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan dan mobiliti masyarakat.
Jamawi berkata, beliau telah mendapatkan kebenaran Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor untuk mengadakan sesi libat urus berkenaan dan hasil perbincangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri dalam mesyuarat akan datang.
“Saya akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri untuk mendapatkan endorsement daripada Kabinet Negeri supaya Kerajaan Negeri turut menyokong isu, maklumat dan cadangan yang telah dikumpulkan oleh MAFFI.
“Kita berharap akan ada sedikit perubahan dari segi tatakelola dan tatacara pelaksanaan BUDI Diesel yang lebih sesuai dengan keadaan dan keperluan rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Jamawi berkata, antara cadangan utama yang dibangkitkan dalam sesi libat urus tersebut ialah menyelaraskan pelaksanaan BUDI Diesel dengan tatacara BUDI RON95.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya proses kelulusan dan tatacara permohonan dipermudahkan bagi pemilik kenderaan yang masih menggunakan kaedah pembiayaan sambung bayar atau “loan”.
Beliau turut mengesyorkan penambahan kuota diesel untuk petani, penternak, penoreh getah dan pengusaha industri makanan di kawasan luar bandar dan bandar yang banyak menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan mengambil kira jarak perjalanan bulanan.
Cadangan lain termasuk pemberian bantuan tunai bulanan melalui inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada pengusaha pertanian, penternakan, penoreh getah dan penggiat industri makanan berskala kecil.
Jamawi berkata, beliau menghargai kesediaan Johan serta pegawai Kementerian Kewangan untuk mendengar pandangan dan cadangan yang dikemukakan.
“Diharapkan segala pandangan, cadangan dan idea penambahbaikan yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian serius dan diluluskan demi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel benar-benar memenuhi keperluan rakyat Sabah,” katanya.
Turut hadir dalam sesi libat urus itu ialah, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani bersama Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kementerian.
































