David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Program e-Rebat NUR@PETRA yang disifatkan mampu membantu meringankan beban kewangan pengguna melalui pembelian peralatan elektrik rumah yang cekap tenaga.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, program itu merupakan langkah proaktif dan berorientasikan rakyat, khususnya ketika ramai pengguna masih berdepan peningkatan kos sara hidup serta bil elektrik yang semakin meningkat.
Menurutnya, di bawah inisiatif berkenaan, pengguna yang layak boleh menikmati rebat sehingga RM200 bagi setiap individu atau isi rumah untuk pembelian peralatan elektrik berkecekapan tenaga bertaraf lima bintang.
Katanya, peralatan tersebut perlu diperakui oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi melayakkan pengguna menikmati insentif yang ditawarkan.
“Program ini bukan sahaja membantu pengguna mengurangkan kos pembelian awal peralatan elektrik, malah turut memberi manfaat jangka panjang melalui penjimatan penggunaan tenaga elektrik setiap bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, inisiatif itu amat signifikan kepada pengguna di Sabah memandangkan penggunaan elektrik lazimnya lebih tinggi berikutan cuaca panas dan kebergantungan yang besar terhadap penggunaan penghawa dingin.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan ramai isi rumah berdepan kos utiliti yang lebih tinggi, justeru program berkenaan dijangka memberi kelegaan kewangan yang bermakna kepada rakyat.
Sehubungan itu, YPNM Sabah menggalakkan semua pengguna yang layak supaya mengambil peluang sepenuhnya dengan memilih peralatan elektrik yang diperakui cekap tenaga.
Chan berkata, langkah tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik bulanan, malah turut menyokong agenda kecekapan tenaga serta kelestarian negara.
“Pengguna juga perlu sentiasa berwaspada dan memastikan peralatan yang dibeli adalah model yang sah di bawah Program NUR@PETRA serta mempunyai pensijilan kecekapan tenaga yang diiktiraf,” katanya.
YPNM Sabah turut menegaskan bahawa kesedaran pengguna dalam memilih peralatan elektrik yang cekap tenaga memainkan peranan penting dalam mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan.
Beliau berkata, penggunaan peralatan yang lebih cekap bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna dari segi penjimatan kos, malah membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
YPNM Sabah percaya inisiatif seperti NUR@PETRA membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menjaga kebajikan pengguna di seluruh negara.
Chan berkata, program itu juga memperlihatkan usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan tenaga secara mampan di samping membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup.
“YPNM Sabah berharap lebih ramai pengguna akan memanfaatkan program ini bagi menikmati penjimatan kos dan pada masa sama menyumbang kepada penggunaan tenaga yang lebih lestari,” katanya.

































