Antara aktiviti yang diadakan semasa program outreach itu.
TONGOD: Program Outreach Bersama Komuniti anjuran Perpustakaan Negeri Sabah wajar diperluaskan ke lebih banyak daerah di seluruh negeri bagi memastikan manfaat ilmu, budaya membaca dan penggunaan teknologi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang serta lokasi.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memperkukuhkan budaya membaca dan literasi, malah berperanan merapatkan jurang akses kepada ilmu pengetahuan serta teknologi, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Outreach Bersama Komuniti Perpustakaan Negeri Sabah Daerah Tongod hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Justinus Jalang,
James berkata, perpustakaan pada hari ini bukan lagi sekadar tempat menyimpan bahan bacaan, sebaliknya telah berkembang menjadi pusat pembelajaran, pembangunan komuniti dan penyebaran ilmu yang sentiasa mendekati rakyat.
“Program seperti ini membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk memperoleh ilmu, meneroka teknologi baharu serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuhkan budaya membaca, meningkatkan tahap literasi serta memperluaskan akses kepada ilmu pengetahuan dan teknologi melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negeri Sabah.
Katanya, komitmen itu turut diterjemahkan melalui penyediaan kemudahan serta sumber digital yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat di seluruh negeri tanpa mengira lokasi.
Dalam pada itu, James berkata, masyarakat perlu terus meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan daya saing bagi menghadapi cabaran era digital yang berkembang pesat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh Perpustakaan Negeri Sabah, sama ada secara fizikal mahupun digital, sebagai sumber pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap sambutan menggalakkan masyarakat Tongod terhadap program berkenaan yang melibatkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan membaca, sukan rakyat, Info Hunt, pameran sumber maklumat digital, program sains dan pelbagai aktiviti komuniti.
Menurutnya, penyertaan aktif masyarakat membuktikan semangat pembelajaran, perpaduan dan kerjasama terus subur dalam kalangan penduduk setempat.
James turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, rakan strategik, pemimpin masyarakat, sukarelawan dan warga kerja Perpustakaan Negeri Sabah yang menjayakan program berkenaan.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua peserta pertandingan atas semangat kesukanan, kreativiti dan kesungguhan yang dipamerkan sepanjang program berlangsung, sambil menegaskan bahawa pengalaman, kerjasama dan hubungan yang terjalin adalah lebih bermakna daripada kemenangan semata-mata.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pelbagai pertandingan yang diadakan sepanjang Program Outreach Bersama Komuniti Perpustakaan Negeri Sabah Daerah Tongod 2026.
Turut hadir ialah Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw; Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Tongod, Tokyo Hashim; serta Pengarah Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Sabah, Ernywati Dewi Abas.


























