KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan bahawa setiap aduan awam yang dibangkitkan melalui saluran media hendaklah disiasat dan diambil tindakan segera tanpa perlu menunggu arahan.
Beliau berkata, langkah itu penting sebagai bukti komitmen Kerajaan terhadap penyampaian perkhidmatan yang cekap, responsif dan berintegriti.
Masidi berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu, Datuk Zainudin Aman.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut mengucapkan tahniah kepada Zainudin atas pelantikannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memperkukuh kecekapan dan profesionalisme kakitangan perkhidmatan awam supaya sentiasa responsif terhadap tuntutan semasa.
Katanya, penjawat awam juga perlu berupaya memenuhi harapan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, berkesan dan berkualiti.
“Pengalaman dan kepimpinan Zainudin akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong agenda pembangunan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau yakin kepimpinan Zainudin akan membantu mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan awam negeri dan memperkukuhkan pelaksanaan dasar serta program pembangunan kerajaan.
Masidi turut berharap kerjasama erat antara kepimpinan Kerajaan dan perkhidmatan awam dapat diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat.
































