Dari kiri: Muhammad Faisal, Aksyah dan Nicholas.
KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin masyarakat dan politik tampil mempertahankan tindakan pihak berkuasa Sabah menyekat kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, sambil mengingatkan semua pihak supaya menghormati kuasa autonomi imigresen negeri yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Imigresen 1959/63.
Aktivis NGO, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin berkata, dakwaan Jawatankuasa Pemandu Bersih yang mengaitkan sekatan kemasukan Asraf dengan arahan politik Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, adalah tidak berasas dan tidak disokong bukti yang jelas.
Menurutnya, mengaitkan sesuatu keputusan pentadbiran atau penguatkuasaan secara langsung kepada kepimpinan negeri tanpa fakta kukuh hanya mengundang kekeliruan serta berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Beliau berkata, ketika ini Hajiji berada di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah, justeru cubaan mengaitkan tindakan imigresen itu dengan arahan politik daripada Ketua Menteri adalah dakwaan yang tidak wajar.
Muhammad Faisal turut menegaskan bahawa Sabah mempunyai kedudukan istimewa di bawah MA63 serta Akta Imigresen 1959/63 yang memberikan kuasa kepada kerajaan negeri mengawal kemasukan individu ke Sabah, manakala pelaksanaan Notis Amaran Sabah (NAS) merupakan sebahagian daripada mekanisme perundangan yang perlu dihormati.
Beliau berkata, hak berhimpun perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengikut lunas undang-undang, manakala pihak luar juga sewajarnya menghormati autonomi Sabah serta tidak menjadikan negeri itu sebagai medan provokasi atau konflik politik yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Sementara itu, aktivis masyarakat, Aksyah Nasrah, menyifatkan kritikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim terhadap tindakan menyekat kemasukan Asraf sebagai tidak berasas serta menunjukkan kegagalan memahami sejarah dan kedudukan istimewa Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Katanya, kuasa autonomi imigresen Sabah bukan diwujudkan oleh kerajaan negeri hari ini, sebaliknya merupakan hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
“Ini bukan kuasa yang direka oleh Ketua Menteri, sebaliknya hak mutlak rakyat Sabah yang dipelihara oleh undang-undang. Sesiapa sahaja termasuk rakyat dari Semenanjung tertakluk kepada peraturan imigresen Sabah apabila ingin memasuki negeri ini,” katanya.
Aksyah berkata, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa mempunyai hak menolak kemasukan mana-mana individu sekiranya terdapat pertimbangan bahawa kehadiran mereka berpotensi menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan negeri.
Beliau berkata, tindakan sekatan itu berlaku hanya beberapa hari sebelum penganjuran himpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 dan wajar dilihat dalam konteks menjaga keamanan serta ketenteraman awam.
Menurutnya, Sabah memerlukan kestabilan bagi meneruskan agenda pembangunan dan tindakan kerajaan negeri adalah bersifat pencegahan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan awam.
Aksyah turut menolak dakwaan yang melabelkan Hajiji sebagai diktator kerana menggunakan kuasa imigresen negeri, sambil menegaskan pelaksanaan kuasa yang diperuntukkan undang-undang tidak boleh disamakan dengan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memerlukan suasana politik stabil dan kondusif bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Parti Liberal Demokratik (LDP), Nicholas Ban berkata, isu larangan kemasukan Asraf perlu dilihat secara rasional berdasarkan undang-undang, bukannya dipolitikkan atau dijadikan asas untuk menuduh Kerajaan Negeri serta Ketua Menteri tanpa bukti.
Katanya, sebarang keputusan berkaitan kemasukan ke Sabah dilaksanakan mengikut proses yang diperuntukkan di bawah undang-undang serta melalui penilaian pihak berkuasa berkaitan, justeru tidak wajar mana-mana pihak membuat kesimpulan bahawa keputusan itu merupakan arahan langsung Ketua Menteri atau kerajaan negeri tanpa pengesahan rasmi.
“Jika benar ada pihak mendakwa keputusan itu adalah arahan Ketua Menteri, maka kemukakan bukti yang jelas. Jangan mengelirukan rakyat dengan dakwaan yang tidak dapat disahkan,” katanya.
Nicholas berkata, dengan penganjuran himpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 pada hujung minggu ini, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab membuat penilaian risiko dan mengambil langkah yang difikirkan perlu bagi memastikan keamanan, ketenteraman awam serta keselamatan rakyat terus terpelihara.
Beliau menegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah di bawah MA63 tidak seharusnya dipersoalkan hanya kerana sesuatu keputusan tidak memihak kepada pihak tertentu, sambil menyatakan Sarawak juga telah lama menggunakan kuasa yang sama bagi melindungi kepentingan negeri dan mengekalkan keharmonian masyarakat.
Menurutnya, rakyat Sabah seharusnya menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan hak negeri sendiri dan LDP akan terus mempertahankan hak-hak Sabah di bawah MA63 serta menyokong segala tindakan yang dibuat mengikut undang-undang demi memastikan negeri itu kekal aman, stabil dan terus membangun.






























