KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin menggesa Kementerian Kewangan supaya memasukkan penggunaan diesel di bawah Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dalam kuota subsidi asas 200 liter sebulan bagi mengambil kira realiti penggunaan kenderaan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pelaksanaan BUDI Diesel yang bermula pada 1 Julai 2026 membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, namun keadaan sebenar yang dihadapi rakyat di Sabah dan Sarawak masih belum diberi pertimbangan sewajarnya.
Menurutnya, penggunaan kenderaan diesel di kedua-dua negeri bukanlah satu pilihan, sebaliknya satu keperluan berikutan faktor geografi, jaringan jalan raya yang mencabar serta kebergantungan kepada kenderaan pacuan empat roda di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada keperluan harian rakyat. Oleh itu, pelaksanaan BUDI Diesel perlu mengambil kira realiti ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Chan berkata, pelaksanaan BUDI Diesel seharusnya berlandaskan prinsip yang sama seperti subsidi RON95 melalui BUDI95, iaitu menggunakan mekanisme yang mudah, jelas dan mesra pengguna.
Menurut beliau, pengesahan kelayakan melalui MyKad telah membuktikan bahawa subsidi bersasar boleh disampaikan dengan lebih cekap tanpa membebankan rakyat dengan prosedur tambahan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kuota subsidi asas sebanyak 200 liter sebulan diperluaskan kepada setiap pemegang MyKad tanpa mengira jenis kenderaan yang dimiliki.
“Kuota 200 liter tersebut harus merangkumi penggunaan petrol RON95 dan diesel, bukannya dihadkan kepada satu jenis bahan api sahaja,” katanya.
Beliau berkata, bagi pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak di bawah BUDI Diesel, kuota tambahan sebanyak 100 liter sebulan boleh terus dikekalkan seperti yang diumumkan kerajaan.
Menurut Chan, pendekatan itu lebih mudah dan praktikal untuk dilaksanakan selain mampu mengurangkan kerenah birokrasi, mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna serta memudahkan pelaksanaan di peringkat lapangan tanpa memberi implikasi fiskal yang ketara kepada kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membatalkan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Katanya, pembatalan had jualan diesel sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter adalah langkah yang tepat dan selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad.
Chan turut dimaklumkan bahawa bagi kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang didaftarkan atas nama syarikat, KPDN sedang memuktamadkan mekanisme pelaksanaan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Beliau berkata, langkah itu merupakan penambahbaikan yang wajar kerana membolehkan kenderaan milik syarikat mendapatkan diesel bersubsidi tanpa perlu menukar hak milik kepada individu.
“Ini sekali gus mengurangkan beban pentadbiran dan memudahkan pelaksanaan dasar,” katanya.
Chan menegaskan bahawa dalam melaksanakan sesuatu dasar nasional, realiti keadaan di Sabah dan Sarawak perlu terus diberi perhatian.
“Dasar yang baik bukan sekadar mencapai objektif fiskal, tetapi juga mestilah mudah dilaksanakan, mudah difahami dan benar-benar memenuhi keperluan rakyat di lapangan,” katanya.






























