Haji Hajiji Haji Noor
SEMPORNA: Kerajaan Negeri sedang merancang pelbagai program di bawah Tahun Melawat Sabah 2027 yang akan menjadi pemangkin dalam memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja akan mengekalkan momentum positif yang dijana menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026, malah memastikan pertumbuhan berterusan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.
Pada masa sama, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah dan akan terus mempergiatkan pelbagai inisiatif, program serta acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ini termasuk program seperti Regatta Lepa Semporna, promosi pelancongan berasaskan komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelawat antarabangsa,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian Regatta Lepa Semporna di sini malam tadi. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, pelbagai program yang dirancang meletakkan Sabah di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping menyediakan asas kukuh bagi Tahun Melawat Sabah 2027.
“Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi yang menggalakkan dengan menerima 3.79 juta pelawat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya dan maritim utama di rantau ini.
“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, memelihara warisan budaya bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama bagi memastikan identiti dan khazanah warisan kita tidak hilang ditelan zaman.
“Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada pembangunan sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah, dengan kekayaan warisan budaya negeri ini menjadi tarikan utama kepada para pelawat,” katanya.
Hajiji berkata, Regatta Lepa telah membuktikan bahawa acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan berimpak tinggi.
“Setiap tahun, ribuan pelawat datang ke Semporna untuk menyaksikan keindahan perahu lepa, persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional serta pelbagai aktiviti yang ditawarkan.
“Kehadiran pelawat ini memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha hotel, pengendali bot pelancong, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan dan minuman serta komuniti setempat,” katanya.
Perahu lepa sejak sekian lama menjadi simbol kehidupan masyarakat Bajau di Semporna.
Selain berfungsi sebagai pengangkutan di laut, ia juga melambangkan kemahiran pertukangan, kreativiti dan kehalusan seni masyarakat tersebut.
“Keunikan inilah yang menjadikan Regatta Lepa begitu istimewa. Ia mempamerkan keindahan budaya, adat resam dan nilai-nilai yang diwarisi turun-temurun.
“Warisan seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan khazanah yang amat bernilai,” katanya.
































