Dr. Ramzah menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 di Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Pemimpin wanita di peringkat akar umbi diseru untuk terus memperkukuh ilmu, menguasai maklumat, membina hubungan erat dengan komuniti, mengamalkan sikap rendah diri serta menerapkan nilai empati dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun membuat seruan ini pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 di sini, kelmarin.
Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Dr. Ramzah Dambul yang mewakilinya.
Azizah berkata, bengkel anjuran Women Leadership Initiative Committee (WLIC) di bawah IDS itu merupakan platform penting untuk memperkasakan pemimpin wanita, khususnya di peringkat akar umbi, agar lebih bersedia mendepani cabaran dan isu semasa dalam komuniti masing-masing.
“Pemimpin wanita perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepimpinan melalui pelbagai platform pembelajaran seperti kursus, bengkel dan sesi perkongsian ilmu. Namun, ilmu sahaja tidak mencukupi tanpa akhlak dan adab yang baik,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin yang berkesan juga perlu mempunyai keupayaan menilai serta menapis maklumat yang diterima sebelum membuat keputusan atau tindakan bagi memastikan setiap langkah yang diambil berasaskan fakta yang tepat dan sahih.
Dalam ucapannya, Azizah turut menekankan kepentingan hubungan rapat antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Pemimpin yang sentiasa mendampingi rakyat, memahami masalah mereka dan menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti akan lebih mudah mendapat kepercayaan serta sokongan masyarakat,” ujarnya.
Selain itu, sikap rendah diri dan kesederhanaan disifatkan sebagai ciri penting yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin.
Beliau mengingatkan bahawa pemimpin yang merendah diri lebih mudah didekati dan dihormati masyarakat berbanding mereka yang bersikap sombong atau mementingkan diri sendiri.
Mengulas mengenai nilai empati, beliau berkata pemimpin perlu berupaya memahami dan merasai pengalaman serta cabaran yang dihadapi rakyat agar penyelesaian yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
“Empati bukan sekadar simpati, tetapi keupayaan meletakkan diri kita di tempat orang lain untuk memahami situasi yang mereka lalui,” katanya.
Beliau yakin gabungan lima elemen utama iaitu ilmu, penguasaan maklumat, hubungan baik dengan komuniti, sikap rendah diri dan empati akan melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa, dihormati serta mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Pada bengkel tersebut, para peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu oleh Pengurus Dal’s Services, Awang Amdan SM Darus, yang menyampaikan ceramah bertajuk Modul Penulisan Dokumen Rasmi Laporan.
Selain itu, Penyelidik Bersekutu IDS Sabah, Zainald Zainuddin berkongsi pengetahuan mengenai Konten Media Sosial untuk Pemimpin Wanita Akar Umbi bagi membantu peserta memanfaatkan platform digital secara lebih berkesan.
Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 merupakan kesinambungan program pembangunan kepimpinan wanita yang sebelum ini diadakan di Kota Kinabalu dan Keningau.
Program itu bertujuan memperkukuh kapasiti kepimpinan wanita di seluruh Sabah agar mereka terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti dan negeri.




























