SANDAKAN:Seramai 280 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran Kampung Bahagia menerima bantuan kewangan serta barangan keperluan harian daripada Kerajaan Negeri Sabah, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson berkata, semua penerima bantuan terdiri daripada KIR warganegara Malaysia yang terjejas dalam insiden kebakaran yang berlaku pada 19 April lalu.
“Terima kasih kepada para penyumbang antaranya Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Kebajikan Sabah, Sabah Energy Corporation (SEC), Yayasan Nur Jauhar (YNJ), Asian Supply Base (ASB) dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).
“Kita juga merakamkan penghargaan kepada badan-badan korporat, NGO serta individu perseorangan yang turut menyumbang barangan makanan dan keperluan harian kepada mangsa yang terlibat.
“Tidak dilupakan, syabas dan tahniah kepada semua anggota keselamatan serta petugas yang terlibat kerana memastikan proses penyerahan bantuan berjalan lancar tanpa sebarang masalah kritikal,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan MADANI Mangsa Kebakaran Kg Bahagia Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh masyarakat, pengamal media dan agensi kerajaan termasuk agensi berkaitan kesihatan, penguatkuasaan, kawalan serta penyediaan keperluan asas yang telah memberikan kerjasama erat sepanjang pengurusan bencana tersebut.
“Kita telah menunjukkan semangat kerjasama yang amat memberangsangkan dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat, sekali gus membantu mengekalkan keadaan yang stabil dan tenang serta mengelakkan timbulnya sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan dalam masa terdekat, beliau berkata jawatankuasa pengurusan bencana sedang meneliti pendekatan terbaik bagi membantu mangsa kebakaran mendapatkan penempatan yang lebih sesuai.
“Kita mengambil kira aspek ketersediaan kawasan, jarak serta kemudahan asas bagi tujuan penempatan semula mangsa.
“Kampung ini merupakan sebuah perkampungan tradisional yang telah lama wujud dan kita akan membantu menyusun semula penempatan mereka di lokasi yang lebih sesuai,” tambahnya lagi.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Penasihat YNJ, Datuk Seri Dr. Norlidah R.M. Jasni.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua USIA, Datuk Alipudin Puyon; Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi, Ajak Sadikal; Setiausaha Perbandaran MPS, Irman Tajuddin Edy; Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sekong, Saparudin Abu; serta Penolong Pegawai Tadbir, Bahagian Bencana dan Keselamatan, Irwan @ Yus Dualin.
































