PENAMPANG: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun meneruskan komitmennya dalam memperkasa pendidikan di kawasan Penampang menerusi penyampaian insentif kepada pelajar cemerlang sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid (MAKEM) SMK Datuk Peter Mojuntin bagi Sesi Akademik 2025, hari ini.
Beliau yang merasmikan majlis tersebut berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan tanda penghargaan kepada pelajar yang berjaya mencatat pencapaian cemerlang, selain menjadi suntikan motivasi untuk mereka terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Harmoni, SMK Datuk Peter Mojuntin itu turut diadakan bagi mengiktiraf pencapaian akademik pelajar serta menghargai usaha berterusan guru dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan anak-anak.
Dalam ucapannya, Ceasar merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga sekolah atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurut beliau, seramai 73 pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas, manakala 17 pelajar lagi mencatat keputusan Straight A.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri terus komited memperkasa akses pendidikan melalui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada pelajar.
Katanya, selain meneruskan pemberian biasiswa dan dermasiswa, kerajaan negeri turut menyediakan 14 inisiatif bantuan pendidikan bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian.
Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Pada majlis itu, Ceasar turut menyampaikan insentif pendidikan kepada pelajar-pelajar cemerlang sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka.
Beliau berkata, program penyampaian insentif pendidikan berkenaan kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan terus menjadi antara inisiatif utama dalam menghargai kecemerlangan pelajar di kawasan Penampang.
Menurutnya, selepas dilaksanakan di SMK Bahang dan SMK Datuk Peter Mojuntin, program yang sama akan diteruskan ke SMK Limbanak dan SM St. Michael dalam masa terdekat.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan lebih ramai pelajar cemerlang menerima pengiktirafan sewajarnya atas usaha dan pencapaian mereka.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan pelajar-pelajar di Penampang mendapat pengiktirafan sewajarnya atas pencapaian mereka, di samping menyuntik motivasi kepada generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pelajar yang layak memanfaatkan peluang permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang telah dibuka semula mulai 11 Jun 2026.
Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.






























