SMK Langkon
KOTA MARUDU: Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan serius terhadap status projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon yang masih belum siap walaupun dilaporkan terbengkalai selama 16 tahun.
Beliau berkata, SMK Langkon yang menempatkan seramai kira-kira 650 pelajar itu terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon sejak tahun 2010.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek sekolah berkenaan di sini, hari ini.
Lawatan itu turut disertai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Marudu, Halim Bidin, Pengetua SMK Langkon, Johari Bahatong, serta pegawai kanan dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu.

James (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, En Halim Bidin, sambil diperhatikan oleh Pengetua SMK Langkon, Johari Bohotong.
James berkata, keadaan yang berlarutan lebih sedekad itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek kemudahan dan keselesaan pembelajaran, malah menjejaskan usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti kepada pelajar.
“Adalah amat mendukacitakan apabila sebuah projek sekolah yang begitu penting kepada masyarakat setempat masih belum dapat disiapkan selepas 16 tahun.
“Anak-anak di Langkon berhak menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna seperti pelajar lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, pelajar SMK Langkon telah menunggu terlalu lama dan tidak seharusnya terus berdepan dengan situasi menumpang untuk mendapatkan pendidikan yang merupakan hak asas setiap anak.
Katanya, isu berkenaan memerlukan perhatian dan tindakan segera semua pihak berkaitan memandangkan pendidikan merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, beliau akan membawa perkara tersebut terus kepada perhatian Menteri Pendidikan Malaysia bagi mendapatkan penyelesaian segera serta tindakan susulan yang sewajarnya.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan projek pembinaan SMK Langkon dapat diteruskan dan disiapkan dalam kadar segera.
James turut berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dapat diperkukuhkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap projek berkenaan demi kepentingan pelajar, guru dan komuniti setempat.
“Setiap anak Sabah berhak mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang selamat, selesa dan berkualiti.
“Kita tidak mahu generasi muda terus menanggung kesan kelewatan projek yang sepatutnya telah lama diselesaikan,” tegasnya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya penyelesaian konkrit dilaksanakan agar warga SMK Langkon dapat menikmati kemudahan sekolah yang sewajarnya selepas 16 tahun penantian.
Pada masa sama, James menegaskan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) akan terus memantau perkembangan isu tersebut serta memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha mempercepatkan penyelesaian projek berkenaan.






























