Masidi bergambar bersama delegasi Kinara Energy dan Shandong Yingbao dari China.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kinara Energy dan Shandong Yingbao dari China di pejabatnya.
Masidi berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan sektor tenaga serta potensi pelaburan di Sabah.
“Kita sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti yang bukan sahaja mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi turut memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja tempatan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, beliau diberi taklimat oleh Naib Presiden Eksekutif Kinara Energy, Francis Jepiuh dan Pengarah Urusannya, Sylvester Linus mengenai perkembangan sektor tenaga serta potensi pelaburan di negeri ini.
Turut dibincangkan ialah peluang mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat tempatan menerusi penglibatan syarikat dalam projek pembangunan dan industri tenaga di Sabah.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pengerusi Shandong Yingbao, Zhang Yueling; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lyu Binchang; serta rombongan syarikat berkenaan.
“Kita mahu melihat lebih banyak penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor berimpak tinggi agar manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat Sabah,” kata Masidi.
Beliau berkata, kunjungan itu turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Sabah dan pihak industri dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor berimpak tinggi.
































