Justinus bergambar bersama ahli jawatankuasa penganjur.
RANAU: Kerajaan Negeri terus komited menyokong usaha pemeliharaan dan pengukuhan warisan budaya masyarakat Sabah sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan dan jati diri rakyat negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, penganjuran Pesta Bangkar merupakan platform penting dalam memelihara serta memperkenalkan warisan budaya masyarakat Orang Sungai kepada generasi muda dan masyarakat umum.
Menurutnya, budaya, adat resam, bahasa serta nilai-nilai tradisi yang diwarisi turun-temurun perlu terus dipelihara agar tidak luput ditelan arus kemodenan.
“Pesta Bangkar bukan sekadar acara kebudayaan, malah menjadi medium yang menyatukan masyarakat, memperkukuhkan semangat perpaduan serta memperkenalkan keunikan warisan masyarakat Orang Sungai kepada generasi akan datang.
“Dalam era pembangunan dan kemajuan teknologi hari ini, kita perlu memastikan warisan budaya terus dihargai dan dipelihara sebagai asas kepada pembentukan jati diri masyarakat,” katanya ADUN Sugut itu ketika merasmikan Majlis Penutupan Pesta Bangkar 2026 di Kampung Meridi, dekat sini, kelmarin. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang.
James berkata, pendidikan kekal menjadi kunci utama dalam melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui kementeriannya sentiasa memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan akses pendidikan, memperluaskan penggunaan teknologi serta memperkasakan pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan luar bandar.
“Kita mahu melihat anak-anak Sabah, termasuk di Ranau, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dan mencapai cita-cita mereka.
“Mereka perlu dilengkapi dengan ilmu, kemahiran serta nilai-nilai murni agar mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi dan inovasi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara identiti serta warisan budaya masyarakat.
Menurutnya, generasi muda perlu celik teknologi, namun pada masa sama memahami asal-usul, menghormati adat resam dan menghargai budaya yang diwariskan oleh nenek moyang mereka.
Dalam pada itu, James mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM10,000 bagi menyokong penganjuran Pesta Bangkar 2027 sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha berterusan Persatuan Orang Sungai Ranau dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Orang Sungai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Orang Sungai Ranau, jawatankuasa penganjur, sukarelawan, pemimpin masyarakat serta semua pihak yang menjayakan Pesta Bangkar 2026.
Katanya, usaha seperti itu wajar diteruskan dan diperkasakan kerana bukan sahaja memperkukuhkan identiti budaya masyarakat, malah menyumbang kepada pembangunan komuniti, penglibatan belia, pengukuhan perpaduan serta pertumbuhan ekonomi setempat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip; wakil Sabah Tourism Board, Dexter; Ketua Anak Negeri, Aini Tompig; Pengerusi Dumpas Sabah, Abd. Wahab Ghani; Pengerusi Persatuan Orang Sungai Ranau, Hairun Badin; serta Pengerusi Warisan Gasing, Putera Awang.
































