Dr. Joachim mengetuai laungan keramat PBS selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Tanjong Kapor di Kudat, hari ini.
KUDAT: Perpaduan dalam kalangan ahli, kestabilan politik dan integriti kepimpinan merupakan tiga prinsip utama yang menjadi tunjang perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS) sejak penubuhannya lebih empat dekad lalu.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ketiga-tiga prinsip tersebut telah membentuk kekuatan parti dan terus menjadi panduan dalam setiap perjuangan yang dibawa demi rakyat serta negeri Sabah.
Menurutnya, PBS percaya kekuatan sesebuah parti tidak terletak kepada individu, sebaliknya bergantung kepada kesatuan dan kebersamaan seluruh ahli.
“Semangat setiakawan, saling menghormati dan bekerjasama perlu terus dipupuk agar PBS kekal kukuh sebagai sebuah organisasi politik yang mampu menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 PBS Bahagian N.4 Tanjong Kapor di Kelab Golf Kudat, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden PBS, Datuk Hendrus Anding; Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christopher Mandut; Bendahari Agung PBS, Datuk Lu Kim Yen; serta Timbalan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jonnybone J. Kurum.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, kestabilan politik merupakan asas utama kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri.
“Tanpa kestabilan politik, sukar bagi kerajaan merancang serta melaksanakan dasar pembangunan secara berkesan dan berterusan.
“Justeru, kestabilan politik yang dinikmati Sabah pada hari ini perlu dipelihara dan diperkukuhkan demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan untuk manfaat seluruh rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PBS bukan sebuah parti yang mewakili satu kaum sahaja, sebaliknya merupakan parti untuk seluruh rakyat Sabah.
“Seingat saya, tidak banyak parti politik di Sabah yang mampu bertahan lebih empat dekad secara konsisten seperti PBS. Ini membuktikan perjuangan kita sentiasa mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.
Menurut beliau, selain memperkukuh perpaduan dan pemantapan parti, PBS perlu terus bekerjasama dengan rakan-rakan politik lain demi memastikan kestabilan di setiap kawasan serta di seluruh Sabah.
“Paling penting, rakyat melihat kita sentiasa berintegriti, fokus, sentiasa menyantuni rakyat dan tidak berpolitik demi kepentingan diri sendiri,” tambahnya.
Dr. Joachim berkata, kepimpinan yang berintegriti merupakan tunjang kepada keyakinan rakyat terhadap sesebuah parti politik.
“Pemimpin bukan sahaja perlu menjadi suara rakyat, tetapi juga contoh yang baik dari segi moral, etika dan tadbir urus. Hanya dengan integriti yang tinggi sesebuah parti mampu mengekalkan kepercayaan rakyat dan terus relevan dalam memperjuangkan kepentingan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat agung bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, tetapi merupakan medan penting untuk menilai perjalanan perjuangan, memperkukuh perpaduan serta merancang hala tuju parti bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Terdahulu, Ketua Bahagian PBS Tanjong Kapor, Martin Majimil berkata, PBS N.4 Tanjong Kapor memainkan peranan penting dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu melalui kerjasama erat bersama komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurutnya, PBS Tanjong Kapor kini semakin mendapat sokongan masyarakat, khususnya daripada kaum Cina, sekali gus menambah kekuatan PBS dan GRS di kawasan Kudat.
Pada mesyuarat itu, dua usul turut diketengahkan, iaitu supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PBS tidak dipertandingkan pada pemilihan parti peringkat pusat, selain cadangan agar bahagian-bahagian yang tidak diwakili PBS diberikan peruntukan bagi melaksanakan aktiviti di kawasan masing-masing.
































