PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung beberapa insiden pergaduhan yang berlaku di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) sepanjang sambutan Pesta Kaamatan yang lalu selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya mengesan beberapa video yang memaparkan kejadian pergaduhan di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu.
“Pergaduhan yang berlaku tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dilerai oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Erwansyah berkata, setakat ini beberapa individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti semua individu yang terlibat serta mengesan saksi-saksi kejadian.
“Rakaman video yang tular turut diteliti bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.
Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan diminta segera menyalurkannya ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
































