Dr. Mohd. Arifin (kiri), Pengiran Saifuddin (tengah) dan Pengiran Japar.
KOTA KINABALU: Tiga jawatan utama Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) bagi sesi 2026-2028 dimenangi tanpa bertanding selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada cawangan-cawangan persatuan di seluruh negeri.
Setiausaha Agung PMBS, Norhasan Haji Ismail berkata, jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden 1 tidak dipertandingkan berdasarkan usul yang dikemukakan oleh 31 daripada 32 cawangan yang layak mengadakan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Perwakilan peringkat cawangan.
Beliau berkata, proses mesyuarat perwakilan di peringkat cawangan telah berlangsung dari 1 hingga 31 Mei lalu.
“Hasil daripada proses Mesyuarat Agung Tiga Tahun Perwakilan di peringkat cawangan, semua 31 daripada 32 cawangan yang boleh mengadakan persidangan telah membuat usul supaya tiga jawatan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden 1 tidak dipertandingkan.
“Ini bermakna Presiden sekarang, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif; Timbalan Presiden, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir; dan Naib Presiden 1, Pengiran Japar Pengiran Osman, menang tanpa bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Mohd. Arifin yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan sekali gus mengekalkan jawatan Presiden PMBS untuk satu lagi penggal.
Sementara itu, Pengiran Saifuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis kekal sebagai Timbalan Presiden PMBS.
Norhasan berkata, bagi sembilan jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat (AJP) yang akan dipertandingkan, beberapa nama telah dikemukakan dan dicalonkan oleh cawangan-cawangan persatuan.
Menurutnya, senarai penuh calon yang layak bertanding akan diumumkan kepada seluruh ahli dalam masa terdekat.
Beliau berkata, Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS dalam mesyuaratnya dua minggu lalu turut memutuskan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Perwakilan PMBS bagi sesi 2026-2028 akan diadakan pada 13 Jun depan.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan berlangsung di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu bermula jam 8.30 pagi.
“Sebelum AGM, kita juga akan mengadakan Forum Etnik Budaya Masyarakat Brunei Sabah yang dijangka dihadiri lebih 300 perwakilan dan pemerhati,” katanya.
Beliau berkata, majlis perasmian Mesyuarat Agung Tiga Tahun Perwakilan PMBS itu akan disempurnakan sendiri oleh Mohd Arifin.
PMBS merupakan antara pertubuhan utama yang mewakili masyarakat Brunei di Sabah dan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, budaya serta pembangunan komuniti berkenaan di negeri ini.
































