Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha menyebarkan ajaran yang telah difatwakan sebagai salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan akidah Islam.
Katanya, susulan aduan awam yang diterima, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS telah menjalankan satu operasi pada 31 Mei lalu di dewan sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu.
Operasi itu dilakukan bagi memeriksa Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikendalikan oleh Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM), yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.
“Seramai 52 Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS telah diarahkan untuk melaksanakan operasi tersebut dengan bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Mohd. Arifin berkata, hasil operasi mendapati program tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei dan dianggarkan dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh Sabah.
Katanya, pelbagai bahan penerbitan, dokumen serta bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani turut dipamerkan sepanjang program berlangsung.
“Kesemua bahan berkaitan telah diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Dr. Mohd. Arifin berkata ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2006 sebelum diwartakan pada 2007.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Sabah, khususnya IPD Kota Kinabalu, atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi berkenaan.
“Kerjasama erat antara JHEAINS dan PDRM amat penting dalam memastikan kawalan keselamatan semasa operasi berjalan lancar serta membantu membanteras penyebaran ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui JHEAINS akan terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, langkah itu juga penting bagi menjamin keharmonian masyarakat serta memastikan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam tidak terus berkembang dalam kalangan umat Islam di Sabah.
“Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan tanggungjawab ini secara berterusan demi memelihara kesejahteraan umat Islam dan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.
































