Jafry ketika ditemui media.
PENAMPANG : Kerajaan dan pihak berkaitan disaran mempertimbangkan isu kenaikan tambang penerbangan ke Sabah khususnya ketika musim perayaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menggesa agar isu kenaikan tambang penerbangan diberi pertimbangan sewajarnya bagi mengurangkan beban rakyat yang pulang ke kampung.
“Kita dapati memang ada sedikit kenaikan tambang. Walau bagaimanapun, kita minta pihak kerajaan dan mereka yang berkaitan untuk mempertimbangkan terutama perayaan-perayaan.
“Walaupun kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan menyediakan beberapa insentif, usaha lanjut wajar dipertimbangkan bagi membantu rakyat Sabah yang pulang ke kampung untuk menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai,” katanya ketika ditemui nedia selepas majlis Perasmian Penutupan Kaamatan Peringkat Negeri 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Jafry berkata sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Sabah, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
“Kepelbagaian budaya yang dimiliki oleh 35 etnik di Sabah merupakan aset penting yang boleh dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kita mempunyai satu tarikan yang amat baik, menjadi aset utama kita di negeri Sabah ini iaitu Pesta Kaamatan.
“Melalui Pesta Kaamatan ini, bukan saja kebudayaan, tetapi pelbagai aktiviti dapat diraikan,” ujarnya.
Menurut beliau, pengiktirafan Malaysia Book of Records terhadap penganjuran program Kaamatan selama 17 hari secara berterusan membuktikan kemampuan festival itu menarik minat pelancong.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya lebih kreatif membangunkan produk dan laluan pelancongan berasaskan budaya serta destinasi luar bandar bagi memperkukuh daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.






























