KOTA KINABALU: Seramai 300 individu, termasuk 12 pemimpin dan penganjur serta 288 ahli kumpulan, ditahan bagi membantu siasatan dalam satu operasi penguatkuasaan terhadap program dan aktiviti yang dikaitkan dengan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani di Dewan SM Lok Yuk, Likas, di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata operasi itu dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berkaitan penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei 2026.
Menurutnya, hasil semakan mendapati program berkenaan dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada tahun 2007.
“Seramai 300 individu telah ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.
“Program itu turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Lot berkata, pihak berkuasa turut merampas 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani.
Selain itu, kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut turut dirampas.
Katanya, dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan itu juga telah disita bagi tujuan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995,” katanya.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Menurutnya, mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Syed Lot turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf dengan merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman agama yang diajar dan disebarkan.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.




























