KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut melibatkan seorang pejalan kaki di Jalan Sepanggar berhampiran Kampung Sepakat Jaya, pada 22 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.25 petang apabila mangsa berusia 69 tahun dipercayai melintas jalan dari arah kanan ke kiri menuju ke kawasan Indah Permai sebelum dilanggar sebuah Toyota Hilux yang sedang bergerak di lorong kiri jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 4.56 petang oleh pegawai perubatan Hospital Likas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit dipercayai meninggalkan lokasi kejadian sejurus selepas kemalangan berlaku.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Brymenden Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.




























