Cleopatra (depan, dua dari kiri) ketika melawat pameran di salah sebuah rumah tradisi.
KOTA KINABALU : Jabatan Muzium Negeri Sabah (JMNS) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) terus memperkukuh usaha memajukan sektor pelancongan serta memelihara warisan budaya di negeri ini.
Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai Mei Sing berkata, program anjuran JMNS seperti ‘Pameran Interpretasi Hidup’ amat bertepatan dengan peranan KePKAS dalam memperkasa sektor pelancongan, memelihara warisan budaya serta menggalakkan penglibatan komuniti secara berterusan.
“Program ini selari dengan aspirasi kementerian untuk memperkasa pelancongan berasaskan budaya dan memastikan pembangunan pelancongan negeri dilaksanakan secara mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Melalui pendekatan interpretasi hidup, pengunjung bukan sahaja melihat pameran, malah dapat mengalami sendiri budaya Sabah menerusi demonstrasi kraftangan, persembahan seni tradisi, makanan dan aktiviti interaktif yang disediakan oleh pihak JMNS.
“Secara tidak langsung, ia menjadikan Kompleks Muzium Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang lebih menarik dan berimpak tinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis Prapelancaran Pameran Interpretasi Hidup sempena Hari Muzium Antarabangsa 2026 di Kampung Warisan I, Kompleks Muzium Sabah, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten dan dijadikan platform tahunan bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.
Sementara itu, Pengarah JMNS, Aldofus Lester John Millip berkata, pihaknya komited memperkukuh peranan muzium bukan sahaja sebagai tempat penyimpanan koleksi, tetapi juga sebagai ruang yang menghidupkan budaya menerusi pendekatan lebih interaktif bagi mendekatkan masyarakat dan pengunjung dengan warisan budaya negeri ini.
“Selaras dengan tema ‘Muzium sebagai Gerbang Budaya Sabah’, JMNS merancang pelaksanaan program ‘Pameran Interpretasi Hidup’ yang akan berlangsung pada setiap hujung minggu di kawasan Rumah Tradisional Fasa I bermula Jun 2026.
“Program ini bertujuan memupuk kefahaman dan penghargaan masyarakat terhadap kepelbagaian budaya etnik di Sabah, selain mempromosikan warisan budaya hidup sebagai aset pelancongan serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam pemeliharaan budaya dan ekonomi kreatif,” ujarnya.
Beliau berharap usaha itu menjadi langkah permulaan yang positif ke arah pelaksanaan program lebih menyeluruh, sekali gus menjadikan Muzium Sabah sebagai destinasi utama pelancongan budaya yang hidup, interaktif dan berterusan.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah (MOTAC), Chong Wai Kit serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.
































