KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan penstrukturan semula parti merupakan langkah penting bagi memastikan kelangsungan serta pembaharuan kepimpinan untuk masa depan.
Beliau berkata, pindaan perlembagaan yang dicadangkan bukan sahaja bertujuan memperkukuhkan struktur organisasi, malah membuka ruang lebih luas kepada generasi baharu untuk tampil memimpin.
Menurutnya, kepimpinan sedia ada perlu menerima hakikat bahawa proses peralihan perlu dilaksanakan bagi memastikan parti terus relevan dan berkembang.
“Kita mahu menyediakan masa depan untuk generasi seterusnya. Antara tanggungjawab paling penting sebagai pemimpin ialah menyediakan pelapis kepimpinan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Masidi yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, struktur baharu itu menekankan konsep pasukan kepimpinan bagi menghimpunkan bakat dan kekuatan dalam satu organisasi yang lebih mantap.
Katanya, pemimpin juga perlu bersedia memberi peluang kepada individu yang lebih berkebolehan demi memperkukuhkan parti.
“Jika ego menguasai kita, lambat-laun parti akan jatuh. Kita perlu berjiwa besar dan memberi ruang kepada mereka yang mampu memimpin bersama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa parti kini berada dalam fasa lebih matang dan perlu melahirkan pemimpin yang mampu bersaing di peringkat negeri dan kebangsaan.
Dalam pada itu, Masidi berkata, kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama serta pengurusan kerajaan negeri yang baik menjadi faktor penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah.
“Apa yang lebih penting ialah membangunkan negeri serta memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan. Usaha memperkukuh dan meningkatkan kualiti kepimpinan perlu diteruskan agar pentadbiran negeri lebih berkesan,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GRS memberi tumpuan kepada pencapaian sebenar berbanding retorik politik semata-mata.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli parti menyokong pindaan dan penstrukturan semula bagi memastikan Gagasan Rakyat terus relevan serta mampu melahirkan kepimpinan berkualiti demi masa depan Sabah.






























