Mandela menerima cenderahati bagi pihak Ketua Menteri daripada Dr. Adeeba sambil diperhatikan oleh Hajjah Hanifah (dua kanan).
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh sokongan kepada pesakit HIV/AIDS yang memerlukan di seluruh Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Dalam perjuangan bersama ini, respons kita mesti menyeluruh dan berkesan. Kita komited memastikan tiada sesiapa yang tercicir, walau di mana jua mereka berada,” katanya pada Majlis Red Ribbon Kota Kinabalu High Tea anjuran Malaysia AIDS Foundation (MAF) di Hilton Hotel di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Caesar Mandela Malakun.
Ketua Menteri berkata, usaha Kerajaan Negeri adalah selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan Menamatkan AIDS 2030 (NSPEA2030) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, yang terus memandu dan menyelaras respons negara terhadap HIV/AIDS.
“Ketika Malaysia berusaha mencapai sasaran menamatkan AIDS menjelang 2030, peluasan akses rawatan serta pematuhan terhadap rawatan kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun rawatan dan penjagaan disediakan secara percuma oleh Kerajaan, masih terdapat individu rentan, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah dan kawasan pedalaman, yang berdepan kekangan kewangan serta logistik.
Sehubungan itu, program seperti Sabah Health Access Programme (SHAPE), bersama inisiatif Perkhidmatan HIV Berbeza untuk Populasi Utama (DHSKP) oleh Kementerian Kesihatan, memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan akses rawatan.
“Inisiatif ini membantu merapatkan jurang kemiskinan dengan menyediakan sokongan seperti pengangkutan ke hospital dan klinik, bantuan makanan serta keperluan asas harian,” katanya.
Hajiji berkata, sokongan sedemikian, walaupun kelihatan kecil, amat penting dalam membantu pesakit meneruskan rawatan secara konsisten dengan lebih bermaruah dan stabil.
Pada masa sama, beliau menegaskan usaha pencegahan dan pendidikan perlu dipergiatkan, khususnya berikutan peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan belia melalui penularan seksual.
Beliau turut menekankan kepentingan menangani stigma dan salah faham yang masih menjadi penghalang kepada usaha membendung wabak berkenaan.
“Kita perlu membina masyarakat yang menangani isu kesihatan awam dengan penuh empati, kematangan dan berasaskan fakta,” katanya.
Hajiji berkata, penanganan HIV/AIDS memerlukan pendekatan seluruh masyarakat melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi kesihatan, organisasi masyarakat sivil, pemimpin komuniti serta sektor swasta.
Beliau turut mengalu-alukan peningkatan penglibatan sektor korporat dalam menyokong inisiatif HIV/AIDS di Sabah, termasuk Yayasan PETRONAS, Sunway Group, Berjaya Corporation Berhad dan Affin Bank.
“Tanggungjawab bersama dan tindakan kolektif ini mampu mewujudkan impak yang lebih terselaras dan mampan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Persekutuan, Datuk Hajjah Hanifah Hajar Taib, Penaung MAF Borneo, Datin Patinggi Jamilah Anu serta Pengerusi MAF, Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman.






























