Jamawi bermesra dengan pelajar SMK Entabuan yang menyertai program itu.
TENOM: Seramai 160 belia menyertai Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) anjuran Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai peluang dalam sektor pertanian moden, khususnya di kawasan pedalaman atas.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program selama tiga hari dua malam itu memberi fokus kepada penglibatan belia serta warga sekolah melalui pelbagai aktiviti berteraskan pertanian dan pembangunan kemahiran.
Jamawi memberikan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di atas penganjuran kepada program ini terutamanya kepada belia di kawasan Melalap.
“Program ini memberi penekanan kepada aktiviti belia di kawasan ini termasuk pendedahan kepada pertanian serta taklimat mengenai peluang kerjaya dan latihan dalam bidang berkenaan.
“Latihan ini dilaksanakan oleh Pusat Latihan Pertanian dan juga GIATMARA Tenom, yang merupakan satu-satunya institusi di Sabah menawarkan latihan teknologi pertanian berasaskan mekanisasi selama enam bulan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan program berkenaan di sini, hari ini.

Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua yang hadir.
Menurutnya, selain latihan ladang, peserta turut didedahkan dengan penggunaan teknologi moden seperti dron dalam sektor pertanian.
“Di Pusat Latihan Pertanian, peserta diajar bagaimana menjadi petani yang mempunyai idea baharu serta menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang ini pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, peserta turut diberikan pendedahan dalam penghasilan kopi berkualiti tinggi, selaras dengan reputasi Tenom sebagai pengeluar kopi.
“Hari ini juga masih ada kumpulan yang menjalani latihan menghasilkan kopi terbaik. Pendedahan ini penting untuk melahirkan lebih ramai pengusaha baharu.
“Program ini membuktikan peranan kementerian bukan sahaja dalam sukan, tetapi juga dalam membangunkan ekonomi belia melalui sektor pertanian,” katanya.
Beliau berharap usaha berterusan seperti ini mampu membuka minda golongan muda untuk melihat pertanian sebagai satu kerjaya yang berpotensi dan berdaya maju.
Turut hadir ialah Pegawai Pengelola Belia dan Sukan Bahagian Pedalaman Atas, Mohd Azmi Mohd Topik; Pengetua SMK Entabuan, Azlan Dimon; Pegawai Pertanian Kanan Daerah Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Ab. Gulam dan Pengurus GIATMARA Tenom, Norhazrilah Latif.






























