Dr. Joachim bersama tetamu jemputan lain menuai padi sebagai gimik perasmian majlis.
KOTA KINABALU: Masyarakat diseru agar terus menghargai tanah dan hasil pertanian yang menjadi sumber kehidupan rakyat, khususnya komuniti luar bandar di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, walaupun tidak semua terlibat secara langsung dalam sektor pertanian, bidang itu tetap penting dalam menjamin kelangsungan hidup serta kestabilan ekonomi negeri.
“Mungkin kita tidak bertani, tetapi ada dalam kalangan masyarakat kita yang bergantung kepada pertanian untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat KDCA Kapayan 2026 di Monstera Hall, De Borneo Waterpark Kepayan, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden KDCA Pusat, Datuk John Chryso Masabal; Setiausaha Agung KDCA Pusat, Datuk Suman Yasambun; Ahli Majlis Tertinggi KDCA Pusat merangkap Pengerusi Penyelaras KDCA Kapayan, Prof. Ts. Jude Abel Logijin; dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Presiden KDCA berkata, semangat menghargai budaya, perpaduan dan hasil bumi negeri perlu terus dipupuk bagi memastikan Sabah kekal harmoni, makmur dan kaya dengan warisan tradisi.
Beliau turut mengajak masyarakat mengambil peluang sempena sambutan Kaamatan untuk menghormati serta menghargai kepelbagaian budaya, bangsa dan agama yang menjadi identiti unik Sabah.
“Hormatilah kepelbagaian yang menjadi kekuatan kita. Sebenarnya kita mempunyai banyak persamaan antara kaum, termasuk yang bukan dalam kalangan KDMR,” katanya.
Menurutnya, persamaan itu dapat dilihat melalui pelbagai aspek budaya dan tradisi, termasuk penggunaan alat muzik seperti gong yang sinonim dalam kebanyakan masyarakat di Sabah.
“Contohnya, dari segi peralatan muzik, kebanyakan kaum menggunakan gong,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kekayaan budaya Sabah juga mempunyai potensi besar untuk memperkukuh industri pelancongan, khususnya semasa sambutan Pesta Kaamatan yang menjadi acara tahunan utama negeri.
“Kaamatan merupakan acara utama untuk menarik pelancong datang ke Sabah,” katanya.






























