Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Sebanyak RM12.02 bilion siling peruntukan telah diluluskan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan 1,173 program dan projek, sekali gus menjadi peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu bukan sekadar mengenai perbelanjaan, tetapi memastikan penyampaian yang berkesan, impak bermakna serta pembangunan seimbang yang dapat dinikmati masyarakat di seluruh Sabah.
“Sektor pembinaan akan memainkan peranan penting dalam transformasi ini. Di seluruh Sabah, kita sedang menyaksikan momentum kukuh dalam pembangunan infrastruktur, daripada jalan raya dan kemudahan kesihatan kepada utiliti serta kesalinghubungan digital,” katanya.
“Lebuh Raya Pan Borneo khususnya melambangkan momentum ini. Ia bukan sekadar jaringan perhubungan, malah membuka peluang ekonomi dan meningkatkan akses di seluruh negeri.
“Pusat bandar utama kita – Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau – sedang berkembang menjadi hab moden dan dinamik yang mencerminkan Sabah baharu yang sedang kita bina,” katanya ketika merasmikan International Construction Week (ICW) Borneo dan BuildXpo di Hotel Sheraton Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi (tengah) yang mewakili Ketua Menteri, diiringi Menteri Kerja Raya Persekutuan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri) dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran ICW Borneo dan BuildXpo.
Mengimbas cabaran pelaksanaan projek sebelum ini, Hajiji berkata, keutamaan Sabah selepas ini adalah mempercepatkan pelaksanaan projek, memperkukuh penyelarasan serta memastikan setiap projek memberi nilai jangka panjang.
Katanya, fokus pembangunan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang tertumpu kepada pengukuhan jaringan perhubungan melalui rangkaian pengangkutan, sistem logistik dan pembangunan pelabuhan bagi merangsang perdagangan serta pertumbuhan ekonomi, di samping memastikan pembangunan mampan dan berdaya tahan demi generasi akan datang.
Keutamaan lain termasuk memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah, selain meningkatkan standard industri menerusi tadbir urus lebih baik, keupayaan lebih kukuh dan akauntabiliti yang lebih tinggi.
Dalam hal itu, Hajiji menyifatkan ICW Borneo sebagai platform penting yang menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama strategik yang mampu diterjemahkan kepada hasil sebenar.
“Ia membolehkan Sabah berhubung secara langsung dengan peneraju industri, pelabur dan profesional yang boleh menjadi rakan strategik dalam perjalanan pembangunan kita.
“Kepada semua yang hadir hari ini, Sabah mengalu-alukan kerjasama anda. Kami mencari rakan yang membina dengan tujuan jelas, melaksanakan amanah dengan integriti dan komited terhadap kualiti. Peluang yang tersedia amat besar dalam bidang infrastruktur, pembangunan bandar dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa Sabah terbuka untuk perniagaan, bersedia menerima pelaburan dan komited terhadap kemajuan.
































