Tun Musa dan Hajiji bersalaman dengan para jemaah haji pada Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah bagi Musim Haji 1447H/2026M.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah bagi Musim Haji 1447H/2026M di Dewan Kinabatangan III, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Turut berangkat menyempurnakan majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun (Dr.) Musa Haji Aman.
Majlis dimulakan dengan alunan zikir Asmaul Husna dan bacaan doa yang dipimpin Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perutusan khas Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada para jemaah.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi bersalaman antara Yang di-Pertua Negeri bersama para jemaah haji selepas laungan azan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Haji Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab; serta Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan Lembaga Tabung Haji, Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Bagi musim haji 1447H/2026M, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan seramai 1,195 jemaah, terdiri daripada 507 lelaki dan 688 wanita.
Pada penerbangan malam tadi, seramai 142 bakal haji berlepas dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menjalani proses Makkah Route sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.

































