Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Pulau Banggi, Kudat, hari ini. – Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan berjumlah lebih RM33 juta bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memenuhi keperluan asas penduduk Pulau Banggi yang sekian lama dinantikan.
Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi peruntukan khas Kerajaan MADANI dan Jabatan Perdana Menteri bernilai lebih RM31 juta melibatkan pelbagai projek infrastruktur asas di pulau berkenaan.
“Alhamdulillah ketika berucap di Karakit, saya telah mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif berjumlah lebih RM33 juta bagi mengangkat kesejahteraan rakyat dan memenuhi keperluan asas yang sekian lama dinantikan penduduk Pulau Banggi.
“Insya-Allah, ikhtiar ini bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi memastikan rakyat di pulau terpencil ini menikmati pembangunan yang lebih adil, selesa dan bermaruah,” katanya.
Menurut beliau, antara projek yang telah mula dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung seperti Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut.
Selain itu, Kerajaan turut melaksanakan projek menaik taraf Balai Polis Pulau Banggi, penambahbaikan Klinik Kesihatan Karakit, menaik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan serta projek keselamatan dan pertahanan negara.
Anwar berkata, Jeti Awam Karakit juga akan dinaik taraf menjadi terminal feri bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan penduduk.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.25 juta bagi beberapa projek baharu di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Katanya, daripada jumlah itu, RM1.25 juta diperuntukkan untuk program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan.
“Sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk manfaat penduduk kampung serta agensi penguatkuasaan,” katanya semasa lawatan kerja ke pulau itu hari ini.
Dalam lawatan kerja itu, Anwar turut mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi di Karakit yang pernah beliau lawati kira-kira 32 tahun lalu.
Beliau berkata, lawatan tersebut mengimbau kembali kunjungannya pada 10 November 1994 bagi meletakkan batu asas dan melakukan pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan sekolah berkenaan.
“Hingga hari ini, sekolah ini kekal sebagai satu-satunya sekolah menengah di Pulau Banggi.
“Sebelum sekolah ini diwujudkan, ramai pelajar terpaksa ke tanah besar Kudat untuk menyambung pendidikan dan tidak kurang juga yang terhenti persekolahan kerana kekangan kos serta kesukaran perjalanan,” katanya.
Anwar berkata, beliau juga berkesempatan bertemu bekas pengetua SMK Banggi, Abdul Kadir Junaidil yang memimpin sekolah itu ketika mula beroperasi pada tahun 1997.
Menurutnya, kejayaan sekolah berkenaan melahirkan ramai anak Banggi yang berjaya membuktikan pentingnya akses pendidikan kepada masyarakat di kawasan terpencil.
“Semoga anak-anak Banggi terus berjaya, kembali menyumbang kepada masyarakat dan menjadi sebahagian daripada ikhtiar besar kita membangunkan pulau ini demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah,” katanya.
Terdahulu, Anwar turut mengadakan lawatan ke Pos Dogoton bagi meninjau tahap kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Filipina.
Beliau berkata, pos keselamatan hadapan itu memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara di utara Sabah termasuk mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“Saya diberikan taklimat berkenaan pelaksanaan operasi di sini sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran serta meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan.
“Penghargaan tertinggi buat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan menjaga kedaulatan tanah air di Pos Dogoton,” katanya.






























