Jamawi dan isteri (tengah), Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani (dua dari kiri), Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew (kiri) serta semua yang lain bergambar kenangan ketika melawat ladang jagung di Pusat Penyelidikan Pertanian Lagud Sebrang, Tenom.
TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) terus memperkukuh pengeluaran benih tanaman menerusi pusat penanaman benih kontan di Lagud Sebrang bagi memenuhi keperluan petani dan penternak di negeri ini.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pusat itu menghasilkan pelbagai jenis benih kontan milik kementerian di Lagud Sebrang. “Di sini kami menghasilkan pelbagai jenis benih seperti Jagung Ternakan Suwan 1, Suwan 2, Suwan 3 dan Metro, benih padi TR 8, Kacang Tanah Bandau Triplet dan sayuran jenis buah seperti timun, petola, labu putih dan kacang panjang.
“Semua ini kami hasilkan satu persatu bagi memastikan bekalan benih mencukupi mengikut permintaan,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan ke pusat berkenaan di sini.

Jamawi bergambar kenangan ketika melawat ladang jagung.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, petani yang ingin menanam jagung bagi kegunaan makanan ternakan boleh berhubung dengan kementeriannya untuk mendapatkan bantuan bekalan benih.
Menurutnya, kementerian akan menyelaras maklumat keperluan setiap kawasan sebelum memaklumkannya kepada pihak berkaitan bagi membolehkan perancangan penanaman dilakukan dengan lebih teratur.
“Kepada petani-petani yang ingin menanam jagung ayam Suwan 1 boleh menghubungi Jabatan Pertanian Daerah yang akan memaklumkan kepada Stesen Pengeluaran Tanaman Kontan (SPK) Lagud Sebrang mengenai keperluan di setiap kawasan supaya mereka dapat merancang pengeluaran benih,” katanya.
Beliau berkata, kementerian turut memberi perhatian terhadap keperluan bekalan anak pokok padi berkualiti bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran pesawah.
“Di sini kami juga menghasilkan benih padi yang sah dan bermutu dan mereka yang ingin mendapatkan benih padi boleh menghubungi (MAFFI),” katanya.
Selepas itu, Jamawi mengadakan lawatan ke satelit sawah padi Lagud Sebrang.
































