Elaine (tiga dari kanan) dan Lorrendah (dua dari kiri) ketika bergambar kenangan bersama.
KOTA KINABALU: Pertandingan akhir Hiis, Manangon dan Momoroisol sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026 akan berlangsung pada 16 Mei depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Hiis, Manangon dan Momoroisol Peringkat Negeri Sabah, Datin Elaine Nora Amandus berkata, pertandingan itu merupakan platform bagi mencungkil bakat pelajar serta memperkasa penggunaan bahasa Kadazan Dusun dalam kalangan generasi muda.
“Objektif untuk mengadakan pertandingan ini sebenarnya mencungkil bakat-bakat para pelajar di mana mereka adalah digalakkan untuk bercakap dan bertutur dalam bahasa Kadazan Dusun dan kita ingin mencungkil bakat-bakat mereka yang sebenarnya mereka ada tetapi belum menyerlah.
“Pertandingan akhir itu bermula pada jam 2 petang yang akan dirasmikan oleh Presiden Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang akan diadakan di Hongkod Koisaan (KDCA).
“Melalui pertandingan ini, mereka akan lebih bersemangat untuk bertutur dalam bahasa Kadazan Dusun dan mereka akan lebih memelihara dan mengukuhkan bahasa ibunda mereka itu sendiri.
“Sebenarnya apa yang ditonjolkan di sini adalah kemahiran para pelajar dan para peserta yang mengikuti pertandingan ini di mana mereka akan bertutur sepenuhnya dalam bahasa Kadazan Dusun dan kita dapat melihat cara mereka menyampaikan dan berinteraksi kepada penonton,” katanya kepada media selepas sesi temubual di konti Sabah FM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Rabu.
Menurutnya, sasaran utama pertandingan adalah pelajar dan generasi muda, namun penyertaan turut terbuka kepada masyarakat umum bagi meningkatkan kefahaman terhadap Bahasa Kadazan Dusun.
“Pihak sekolah khususnya yang menawarkan kelas Bahasa Kadazan Dusun digalakkan menyertai pertandingan ini kerana ia dapat membantu memperkasa dan memperkukuhkan bahasa kadazan dusun dalam kalangan pelajar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Lorrendah Joseph menjelaskan sebanyak 288 buah sekolah dari seluruh negeri terlibat dalam pertandingan tersebut.
“Daerah Ranau, Tambunan, Keningau dan Tuaran antara kawasan yang merekodkan penyertaan tertinggi berikutan kebanyakan sekolah di daerah berkenaan telah membuka kelas bahasa Kadazandusun di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Pertandingan ini memberi peluang kepada murid menampilkan kreativiti melalui puisi, cerita dan syarahan dalam bahasa Kadazandusun sekali gus membantu memperkukuhkan penguasaan kosa kata serta kefahaman terhadap bahasa dan budaya etnik,” ujarnya.
Lorrendah berkata, pertandingan dilaksanakan melalui beberapa peringkat bermula dengan penghantaran video sebelum peserta terpilih mara ke separuh akhir dan final, dengan hanya lima peserta terbaik dipilih bagi setiap kategori untuk beraksi di pentas akhir.
Tambah beliau, pertandingan seperti Hiis, Manangon dan Momoroisol berpotensi dikembangkan ke peringkat kebangsaan menerusi persembahan berbentuk teater, drama dan musikal yang mampu menjadi identiti budaya Sabah.
Beliau turut berharap agar pertandingan tersebut terus mendapat sokongan supaya dapat dikekalkan sebagai program tahunan utama sempena sambutan Kaamatan selain menarik lebih ramai penyertaan sekolah, guru dan murid pada masa akan datang.
































