Hajiji (tengah) bersama pemimpin lain menyertai upacara tradisi menuai padi sempena pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026 di Dewan Masyarakat Papar, hari ini.
PAPAR: Memperkukuh keselamatan makanan dan meningkatkan Nisbah Sara Diri (SSR) negeri kekal sebagai antara keutamaan Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, sejumlah RM559.85 juta diperuntukkan tahun ini kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bagi menjayakan usaha tersebut.
Hajiji berkata, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh keselamatan makanan, termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan kawasan penanaman padi di seluruh negeri, termasuk di Papar dan daerah berdekatan seperti Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.
“Selaras dengan semangat Pesta Kaamatan yang meraikan hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga teras utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan makanan yang kukuh, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global masa kini,” katanya ketika merasmikan pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat, di sini, hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian Sabah, sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.
“Kemajuan yang kita nikmati hari ini tidak bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
“Saya menyeru semua rakyat Sabah agar terus berganding bahu dengan Kerajaan dalam merealisasikan setiap agenda, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup dan status sosioekonomi rakyat, termasuk sokongan dalam pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan awam.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran yang dicapai.
Mengenai Papar, Hajiji berkata, daerah itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan menerusi pelaksanaan projek infrastruktur dan pembangunan komersial yang sedang giat dijalankan, termasuk di Benoni dan Kinarut.
“Dengan siapnya Lebuhraya Pan Borneo kelak, Papar berpotensi besar muncul sebagai destinasi persinggahan utama bagi pengunjung dari Brunei dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan seperti Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah akan terus meningkatkan potensi Papar sebagai daerah yang progresif dan berdaya saing.
Hajiji berkata, pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Kaamatan tahun ini amat bertepatan memandangkan daerah itu terkenal dengan kawasan sawah padi yang subur.
“Daerah ini bukan sahaja kaya dengan hasil, malah kaya dengan nilai budaya serta semangat kemasyarakatan yang tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik yang hidup aman dan harmoni. Inilah gambaran sebenar Sabah yang kita banggakan,” katanya.
Beliau berkata, tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Harvesting Unity, Celebrating Harmony,” menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sabah yang berbilang kaum.
Hajiji turut menghargai kehadiran dan sambutan menggalakkan orang ramai pada majlis tersebut, yang mencerminkan tanggungjawab bersama dalam memelihara warisan budaya untuk generasi akan datang.
“Golongan muda mesti memahami, menghormati dan menghayati kepelbagaian sebagai asas keharmonian dan kekuatan perpaduan, terutama dalam dunia yang semakin moden dan mencabar.
“Marilah kita terus memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan bersama-sama membina masa depan Sabah yang lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, Hajiji mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan tempat duduk penonton di daerah ini.
Beliau berkata, peruntukan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam mendengar dan memahami keperluan rakyat.
































